Sampah Nan Segumpal

      No Comments on Sampah Nan Segumpal

Oleh Nur Akmaliah

       “Ini adik saya, cikgu. Namanya Min – Muhammad Nur Azmin,” ujar seorang remaja lelaki berusia awal 17 tahun selepas mengucapkan salam dengan ungkapan penuh kepada Cikgu Shamsul Amir Ismail. Salamnya juga berbalas penuh. Remaja yang berambut ikal pendek itu Suhaiman. Dia dan adiknya baru sahaja tiba di kelas tingkatan 5 Arif. Mereka cepat bersalam-salaman dengan Cikgu Shamsul Amir Ismail yang ketika itu berada di sudut belakang kelas tingkat bawah Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan Gawi.

       “Baguslah, Suhaiman datang awal dan menepati waktu; bawa adik pula, tu. Langkah Suhaimin ini amat bagus. Perbuatan Suhaiman ini kalau menurut orang tua-tua kita, umpama melentur buluh dari rebung” balas Cikgu Shamsul Amir Ismail dengan gembira. Daripada memandang Suhaiman, dia meleretkan matanya kepada Muhammad Nur Azmin pula.

       Suhaiman tersengih. Kembang nuraninya menerima pujian gurunya yang memiliki nama penuh yang panjang – Shamsul Amir Ismail bin Mahmood, yang berasal dari Kedah. Cikgu Shamsul Amir Ismail tersenyum, kemudian berkata kepada Muhammad Nur Azmin dengan suatu pertanyaan; “Min belajar dalam tahun berapa dan bersekolah di mana?”

       “Saya belajar dalam tahun Dua Anggerik Sekolah Kebangsaan Padang Setebu!” balas Azmin dengan suara yang jelas dan lancar.

      “Wah, ayat penuh dan perkataan baku Min gunakan, ya! Syabas, Min! Ini mesti Min sangat minat belajar mata pelajaran Bahasa Melayu,” ujar Cikgu Shamsul Amir Ismail lalu menggosok-gosok kepada Muhammad Nur Azmin.

Cerpen ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *