Buku Alat Pembangunan Manusia

      No Comments on Buku Alat Pembangunan Manusia

Ekspo Buku 1Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa bukan sahaja dapat memajukan industri buku, tetapi dapat mengembangkan dan menyuburkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat berilmu dan berpengetahuan melalui sikap gemar membaca dan sentiasa berfikiran ingin tahu, kreatif dan berdaya saing.

Kepentingan Penerbitan Buku

Umum mengetahui bahawa perkembangan tamadun dan ketinggian sesebuah bangsa amat bergantung pada faktor penguasaan ilmunya. Perkara ini dapat dilakukan melalui penyebaran dan pengukuhan ilmu, antaranya termasuklah dengan menggunakan wahana penerbitan karya ilmiah seperti buku. Buku dianggap sebagai medium penting dalam pembangunan manusia, sumber kemajuan moral, fikir, sosial dan budaya bangsa dan negara. Kita tidak mungkin lupa akan karya besar yang banyak mempengaruhi minda dan mengubah pemikiran masyarakat dunia, seperti Al-Mukaddimah oleh Ibnu Khaldun, The Clash of Civilizations oleh Samuel P.Huntington, dan Blue Ocean Strategy oleh W.Chan Kim dan Renee Mauborgne.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyarankan setiap negara dapat memenuhi penerbitan 0.1 peratus daripada populasi penduduk. Malaysia yang kini mempunyai penduduk kira-kira 28 juta orang mestilah menerbitkan sekurang-kurangnya 28 ribu judul buku baharu. Walau bagaimanapun, jumlah penerbitan negara hanya mencapai 16 ribu judul buku setahun. Oleh itu, sikap rajin membaca dan mengarang buku perlu dijadikan budaya yang kukuh dalam kehidupan kita sehari-hari. Hanya melalui cara ini, kita akan dapat mencapai sasaran untuk menerbitkan 28 ribu judul buku setahun.

Industri buku di negara kita masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan seperti negara lain di Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan India. Mereka yang terbabit secara langsung dalam industri penerbitan buku, seperti

penulis, penerbit dan pengedar buku, bukan sahaja masih belum berupaya sepenuhnya menembusi pasaran antarabangsa, tetapi turut terhimpit dalam pasaran tempatan yang terbatas dan tidak menggalakkan. Hal ini tidak termasuk dengan isu dan cabaran kontemporari, seperti persaingan penerbitan secara e-buku yang telah banyak mengalih perhatian dan gaya para pembaca kini.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *