Kaedah Pembelajaran Koperatif

      No Comments on Kaedah Pembelajaran Koperatif

Oleh Nabihah Yusof

      Untuk merealisasikan pembelajaran abad 21, guru perlulah lebih kreatif dalam konteks
merancang Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk pelajar. Pelbagai kaedah dan strategi PdP boleh diimplementasikan bagi membolehkan pelajar berkolaborasi serta menjadi aktif di dalam kelas. Dalam konteks masyarakat Malaysia, konsep bekerjasama telah lama diamalkan. Masyarakat Melayu sering kali melakukan sesuatu kerja secara bersama, tolong-menolong antara satu sama lain. Malah konsep gotong-royong telah diguna pakai dalam sistem pendidikan masyarakat Melayu pada masa lampau. Selain itu, pelajar sering bekerjasama untuk belajar bersama-sama.

      Secara umumnya, Pembelajaran Koperatif merupakan satu strategi PdP yang menggunakan kumpulan kecil pelajar untuk memberikan peluang berinteraksi sesama mereka dalam proses pembelajaran. Menurut Slavin (1982), rasional di balik Pembelajaran Koperatif ialah pelajar lebih bersedia membantu rakan sekumpulan sekiranya mereka ingin kumpulan mereka berjaya.

       Walau bagaimanapun, Slavin berpendapat Pembelajaran Koperatif hanya berkesan apabila terdapat tiga ciri ini, iaitu ganjaran kumpulan, tanggungjawab individu dan peluang yang sama untuk berjaya. Pelajar akan diberikan ganjaran apabila kumpulan mereka mencapai sesuatu kriteria tertentu tanpa adanya sebarang persaingan antara sesama kumpulan. Ganjaran kumpulan menjadikan pelajar lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan. Strategi Pembelajaran Koperatif merupakan proses pembelajaran yang berlaku secara berkumpulan untuk menguasai bahan pengajaran yang diberikan oleh guru.

      Sewaktu mengendalikan kaedah Pembelajaran Koperatif di dalam kelas, guru perlulah memastikan setiap ahli kumpulan bersemuka antara satu sama lain. Justeru, kedudukan setiap ahli perlu selesa dan berlaku perbincangan secara terus, serta tidak mengganggu kumpulan lain.

      Di samping itu, guru perlu memastikan setiap pelajar mengambil dan mendapat bahan pembelajaran yang diagihkan kepada kumpulannya. Jika dirancang dengan baik dan teliti, Pembelajaran Koperatif akan seronok dan menarik. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap pelajar bekerjasama untuk memberikan penerangan dan penjelasan kepada ahli kumpulan secara aktif serta bukan bertindak sebagai penerima yang pasif. Pelajar juga akan bekerja sebagai satu kumpulan dan guru tidak lagi menjadi pembimbing semasa aktiviti kumpulan dijalankan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *