Hubungan Semantik dalam Frasa

      No Comments on Hubungan Semantik dalam Frasa

Oleh KHO THONG ENG

Dalam binaan ayat bahasa Melayu, frasa merupakan bentuk yang terhasil dengan mengembangkan sepatah kata atau lebih untuk menduduki gatra subjek, predikat atau komponennya. Dari segi strukturnya, frasa berbeza daripada klausa dan ayat kerana frasa tidak mempunyai unsur subjek dan predikat.

Frasa terbahagi kepada empat jenis, iaitu frasa nama, frasa adjektif, frasa kerja dan frasa sendi nama. Sesetengah frasa terbina daripada dua unsur yang bersifat sinonim.

1. Intan berlian tidak menjanjikan kebahagiaan hidup.

2. Tanah sawah yang kering kontang telah merekah.

3. Dia dimaki hamun oleh penjahat itu.

4. Jerit pekik para penonton memekakkan telinga.

Dalam ayat 1, frasa nama intan berlian terdiri daripada dua kata nama yang seerti, iaitu intan dan berlian. Dalam ayat 2, frasa adjektif kering kontang terbina daripada kata adjektif kering dan kontang yang bersifat sinonim. Dalam ayat 3, frasa kerja dimaki hamun terdiri daripada dua kata kerja yang seerti, iaitu dimaki dan dihamun. Dalam ayat 4 pula, kata kerja jerit dan kata kerja pekik yang bersinonim bergabung untuk menghasilkan frasa nama jerit pekik. Dalam hal ini, kata kerja telah bertukar menjadi frasa nama selepas digabungkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *