Pembelajaran Kaedah Projek Ziarah Bahasa

      No Comments on Pembelajaran Kaedah Projek Ziarah Bahasa

Oleh Md Ishak A.Rahman

       Pembelajaran kaedah projek (PKP) diasaskan oleh John Dewey (1859-1952). Menurutnya kaedah pembelajaran ini melibatkan pengalaman, pemerhatian dan percubaan. Kaedah ini juga dikenali sebagai aktiviti pembinaan dan penghasilan projek (hasilan yang dapat dilihat) dengan mengumpul maklumat sendiri tanpa campur tangan secara langsung daripada pihak lain.

      Jais Sahok dalam Pelita Bahasa September 2015, menyatakan kaedah pembelajaran ini memungkinkan pelajar menguasai dan mengamalkan kemahiran komunikasi yang merangkumi kepetahan, pembujukan dan kolaborasi dalam sosial. Melalui kaedah ini pembelajaran dilaksanakan mengikut tahap dan aras pencapaian pelajar. Pembelajaran kaedah ini, juga berdasarkan minat dan peluang meneroka isi pelajaran secara lebih mendalam. Hal tersebut bertepatan dengan kaedah pengajaran abad ke-21.

      Walau bagaimanapun, PKP pada peringkat pembelajaran menengah rendah dan menengah atas selalunya tidak diharapkan untuk mendapat hasil pembelajaran yang cemerlang tanpa bantuan dan bimbingan guru. Guru memainkan peranan penting sebagai fasilitator. Pelajar pula mesti menguasai disiplin ilmu dan mempunyai kefahaman yang mendalam dalam projek yang dilaksanakan. Mereka perlu melalui pembelajaran asas dalam bidang berkaitan. Yang penting, berikan pelajar pengalaman untuk membina keyakinan supaya dapat melakukan projek yang akan datang.

      Kaedah ini jarang dipraktikkan kerana kelihatan membebankan pelajar dan kurang membantu secara langsung untuk kecemerlangan dalam peperiksaan. Guru yang mementingkan keputusan peperiksaan kurang yakin dengan kaedah ini. Walau bagaimanapun, kaedah ini merangsang untuk mempercepat kematangan pelajar dalam menguasai pelajaran dan pembelajaran.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *