Jadilah Pengulas Sukan Berwibawa

      No Comments on Jadilah Pengulas Sukan Berwibawa

Oleh Rosmawati Abdullah

Perhatian masyarakat kepada bidang sukan menampakkan kemajuan yang besar bermula pertengahan dekad 1980-an. Kajian menunjukkan bahawa hal yang sedemikian itu berlaku antaranya disebabkan oleh pertambahan stesen penyiaran yang berbentuk visual. Kemunculan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) yang lebih dikenali sebagai TV3, yang diperbadankan sebagai televisyen perdagangan pertama di negara ini pada 1983 dan memulakan siarannya pada 1 Jun 1984 di Lembah Klang, memberikan dimensi baharu kepada bidang sukan tanah air. Dari semasa ke semasa, saluran penyiaran itu yang aktif dengan tema “Berita Terkini Hiburan Sensasi”, menggiatkan perhatiannya kepada bidang sukan bermula dengan permainan bola sepak dan badminton.

Kemunculan stesen televisyen tersebut menjadi saingan yang hebat kepada dua saluran televisyen, iaitu TV1 dan TV2 yang dimiliki oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Dalam konteks perhatian kepada bidang sukan, saluran TV3 lebih dominan berbanding dengan kedua-dua saluran televisyen RTM yang lebih banyak memberikan fokus kepada isu pembangunan taraf hidup rakyat selaras dengan sifatnya sebagai sebuah badan penyiaran yang dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya. Maka, bagi generasi muda pada waktu itu, TV3 lebih melekat di hati mereka apatah lagi banyak siaran langsung dilakukan kepada beberapa jenis permainan. Kecenderungan yang sama didapati turut berlaku dalam kalangan orang dewasa yang jiwanya terarah kepada bidang sukan tanah air.

Wilayah perhatian masyarakat kepada bidang sukan semakin bertambah saiznya dengan kemunculan stesen televisyen satelit (Astro). Stesen televisyen yang dimiliki oleh Astro Malaysia Holdings Berhad dan memulakan operasinya pada 1 Jun 1996, menawarkan lebih banyak saluran yang memberikan tumpuan kepada bidang sukan. Melalui saluran yang terdapat dalam Astro, siaran kegiatan dan isu sukan bukan hanya terhad kepada liputan sukan tempatan, malahan sukan bertaraf antarabangsa. Sehingga kini, didapati bahawa saluran sukan menjadi pilihan masyarakat pelbagai lapisan usia, keturunan, dan agama, serta pelbagai status ekonomi.

Kewujudan kesemua stesen televisyen itu dan kaitannya dengan bidang sukan di negara ini ditandai oleh penyertaan ramai pengulas. Pada zaman kegemilangan sukan di TV1 dan TV2, membawa kepada tempoh dominasi TV3, dan kemudiannya memasuki era dominasi siaran Astro, terdapat senarai panjang pengulas sukan tanah air. Antara pengulas sukan yang sering muncul
dalam konteks siaran media visual termasuklah Abdulah Hasim, Karim Mohamad, Datuk Rahim Razali, Alimi Wan Mahmud, Amran Hamid, Aziz Ibrahim, Datuk Haji Hasbullah Awang (Allahyarham), Sharkawi Jirim, Shaukei Kahar, Abu Bakar Atan, Zainal Abidin Rawop, Jasni Shafie, Richard Scully, Akhbar Sahari, Hafizal Hamad, Ahmad Shahrazad Sani, Rizal Hashim, Hakim Amir, Stanley Bernard, Tabah Syazwan Othman, Rueben Thevandran (Burn) dan Sharon Wee.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *