Kerancuan Istilah dalam Ulasan Sukan

      No Comments on Kerancuan Istilah dalam Ulasan Sukan

Oleh Alias Ismail

     Dalam bidang sukan, khususnya bola sepak, beberapa istilah yang digunakan oleh para pengulas tersasar maknanya. Perkara ini tidak wajar berlaku, malahan seharusnya difahami secara mendalam. Hal ini membawa maksud bahawa sesuatu istilah hendaklah digunakan dengan tepat agar maksudnya sampai kepada pihak lain semaksimum yang mungkin.

      Para pengulas dan wartawan sukan seharusnya melihat perkara ini sebagai suatu perkara besar kerana selain membincangkan subjek utama dalam bidang tugas masing-masing, secara tidak langsung mereka sebenarnya turut menjadi penular kepada penggunaan bahasa yang akan menjadi ikutan masyarakat. Sikap, pertuturan dan tulisan mereka mempunyai pengaruh yang kuat ke atas orang ramai, terutamanya generasi muda yang berada dalam proses pendedahan pengalaman hidup.

       Seandainya kita menjadi pemerhati yang baik berkaitan perkara ini tentu kita menemukan beberapa istilah yang selalu silap digunakan oleh pengulas sukan tanah air sama ada ulasan itu melibatkan ujaran lisan mahupun ujaran tulisan. Satu daripada perkataan tersebut ialah tonggak. Jika diperhatikan, perkataan itu digunakan oleh sebahagian pengulas dan wartawan sukan bagi merujuki pemain dalam kesebelasan utama sesebuah pasukan.

       Menurut tesaurus dan Kamus Dewan edisi terkini, perkataan tonggak tergolong dalam kelompok kata nama dan terkandung dalam dua klasifikasi. Dalam klasifikasi pertama, kosa kata itu semakna dengan pancang yang merangkumi tiang, turus, pacak, turas, tunggul dan patok. Dalam klasifikasi kedua, perkataan itu semakna pula dengan asas yang merangkumi dasar, tapak, sendi, lunas, teras, pangkal, pokok, akar, umbi, tunjang, rukun, tiang, sandaran, pegangan dan prinsip.

       Agak lucu apabila ada pihak selesa berkata begini: “Lima tonggak utama pasukan bola sepak Telaga Biru gagal melaporkan diri untuk menjalani latihan pusat yang dijadualkan bermula semalam”. Ujaran yang sedemikian itu sering kedapatan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun dalam bentuk ujaran apabila berlaku diskusi berkaitan sukan, apatah lagi bola sepak. Kecenderungan yang sedemikian itu bermula sekitar sedekad yang lalu dan pada peringkat awalnya dilihat janggal oleh orang ramai, tetapi lama-kelamaan, kejanggalan itu mereput; seolah-olah telah menjadi “halal”.

     Didapati bahawa dari hari ke hari penggunaannya semakin meluas dalam kalangan aktivis yang membicarakan pergolakan sukan tanah air sehingga ada yang beranggapan bahawa penggunaannya adalah tepat dan relevan. Dalam sesebuah masyarakat, sesuatu perkara yang salah itu lama- kelamaan dianggap sebagai betul jika penggunaannya melibatkan jumlah pengikut yang besar.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *