Membentuk Pemikiran Bahasa di Laman Sosial

      No Comments on Membentuk Pemikiran Bahasa di Laman Sosial

 

Nicholas Carr dalam bukunya yang bertajuk The Shallow: What the Internet is Doing to Our Brains, menyatakan bahawa internet menukarkan manusia menjadi orang yang berfikiran sempit dan tidak mendalam. Pemikiran menjadi terpecah-pecah dan memori ingatan menjadi lemah. Tidak akan wujud proses daya fikir kognitif yang kuat, termasuklah kemampuan untuk mencerap perbendaharaan kata yang abstrak, tidak bersifat refleksi, lemah dalam pencarian penyelesaian kepada sesuatu masalah, tidak bersifat kritikal, dan kurang daya imaginaasi.

      Apa pula kesannya terhadap bahasa, terutamanya bahasa Melayu? Bahasa berkait rapat dengan pemikiran. Bahasa yang baik akan mencipta suasana dan iklim pemikiran yang baik. Jika sesuatu bentuk pemikiran diucap, diujar dan diterjemahkan dengan bahasa tunggang-langgang sifatnya, maka idea dan pandangan tersebut dikhuatiri tidak akan dapat difahami dengan jelas.

      Ramai menyetujui kelebihan internet. Sesuatu keadaan menjadi mudah dengan adanya internet. Namun begitu, dari sudut yang lain, internet membuatkan bahasa menjadi ‘rosak’. Rosak kerana tidak dapat menjelmakan keindahan bahasa, apatah lagi makna. Dalam konteks ini, facebook, twitter, dan sebagainya merupakan punca wujudnya keadaan yang sedemikian. Bahasa seolah-olah tidak dapat menampung wacana ilmu dalam laman sosial. Selain itu, laman sosial tersbut juga menjadi pusat penyebaran bahasa yang tidak baik. Pemikiran yang terbentuk daripada penggunaan bahasa tersebut juga kian meluas.

      Selain membentuk pemikiran yang tidak jelas maknanya, laman sosial tersebut juga mengundang penyalahgunaan bahasa. Kesannya, keadaan tersebut akan melahirkan masyarakat yang tidak lagi santun dalam berbahasa. Benar, laman sosial tidak perlu ditapis, tetapi kita sendiri sebagai pengguna bahasa, perlu menapis bahasa yang digunakan agar pemikiran yang disampaikan menjadi jelas dan bermanfaat untuk tatapan masyarakat.

Ismail Aminuddin

Kajang, Selangor

Komentar ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *