Profesionalisme Seorang Pengulas Sukan

      No Comments on Profesionalisme Seorang Pengulas Sukan

 

Datuk Rahim Razali, Sharkawi Jirim, Abu Bakar Atan, Alimi Wan Mahmud, Datuk Haji Hasbullah Awang (Allahyarham) serta Abdullah Hashim (sekadar menyebut beberapa nama) merupakan beberapa orang pengulas sukan yang berada dalam kelas tersendiri di negara ini. Kehebatan mereka sudah terbukti sehingga mampu menghangatkan bahang perlawanan sama ada dalam kejohanan pada peringkat domestik atau antarabangsa.

      Bukan mudah untuk seseorang itu menjadi pengulas sukan yang berwibawa. Selain bakat semula jadi yang sudah ada dalam diri, banyak perkara yang perlu diberikan perhatian terutama segi mental dan fizikal, di samping melakukan latihan yang berterusan. Selain kepakaran yang dimiliki, penulis ingin berkongsi tentang masalah kerancuan istilah yang sering diguna pakai semasa seseorang pengulas itu membuat ulasan dalam acara sukan.

      Kebanyakan penonton melahirkan rasa teruja kepada mana-mana pengulas yang berjaya menghidupkan suasana perlawanan dengan ulasan yang mampu menyemarakkan lagi sokongan penonton kepada pasukan masing-masing. Apatah lagi jika pengulas tersebut mengetahui selok-belok tentang pelbagai aspek teknikal permainan dan nama-nama pemain dengan cepat berserta fakta yang tepat. Namun begitu, perlu dingatkan bahawa seorang pengulas kelihatan tidak profesional jika mereka memberikan ulasan kepada pasukan pilihannya. Sebagai pengulas, mereka tidak boleh berpihak atau cenderung kepada mana-mana pasukan, terutamanya apabila melibatkan perlawanan pada peringkat domestik.

     Para pengulas seharusnya sedar bahawa penonton memerlukan pengulas yang boleh menyampaikan ulasan dengan berwibawa seiring dengan perlawanan yang hebat. Lebih-lebih lagi jika mereka menguasai istilah tertentu dengan tepat. Penulis tidak mahu menuding jari kepada sesiapa apabila melihat beberapa pengulas yang sememangnya kelihatan hebat, tetapi mereka masih lagi melakukan kesilapan dari segi semantik dan makna terhadap istilah tertentu. Mungkin ada penonton yang tidak perasan akan hal ini, namun sebagai pencinta bahasa ada yang beranggapan kesilapan sebegitu melunturkan emosi penonton yang sedang membara tatkala menonton sesuatu perlawanan.

Abd. Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *