“Adalah” dalam Ayat Berpola FN + FN

      No Comments on “Adalah” dalam Ayat Berpola FN + FN

Oleh Rashid Darham

Empat aspek tatabahasa yang perlu diperhatikan dalam penggunaan bahasa Melayu baku ialah penggunaan perkataan, penstrukturan ayat dan frasa, pengimbuhan serta pengejaan. Penguasaan keempat-empat aspek tatabahasa ini sangat penting bagi membolehkan seseorang pengguna bahasa Melayu menggunakan bahasa dengan jitu. Antara empat aspek tatabahasa ini, kesalahan penggunaan perkataan merupakan kesalahan yang lazim dilakukan oleh pengguna bahasa, termasuklah oleh pelajar institusi pengajian tinggi. Dari segi jenis perkataan pula, kata pemeri merupakan antara kategori perkataan yang paling banyak disalahgunakan.

       Hal ini agak aneh juga kerana kata pemeri ialah subkategori kata tugas yang paling sedikit bilangannya, iaitu dua sahaja. Dua kata pemeri tersebut ialah “ialah” dan “adalah”. Antara dua kata pemeri ini pula, “adalah”lah yang sering kali disalahgunakan.

        Pada umumnya, kata pemeri berfungsi menghubungkan subjek dengan predikat ayat (kecuali bagi ayat yang berpredikat frasa kerja). Walaupun kehadirannya hanya bersifat opsyenal, adakalanya dapat membantu dari aspek semantik, iaitu pemahaman akan menjadi lebih jelas. Ayat (1) yang berikut dapat menjelaskan hal ini.

(1) Malaysia yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk ialah negara yang sedang pesat membangun.

      Sekiranya kata pemeri “ialah” tidak disisipkan, ayat yang dijana menjadi kurang ketara maksudnya. Hal ini dikatakan demikian kerana pembahagian antara subjek dengan predikat ayat berkenaan yang kurang jelas seperti contoh yang berikut:

(2) Malaysia yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk negara yang sedang pesat membangun.

     Untuk menjitukan penggunaan dua kata pemeri ini, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008: 263-65)mengemukakan rumus bahawa kata pemeri “ialah” digunakan dalam ayat yang predikatnya ialah frasa nama (FN). Kata pemeri “adalah” pula digunakan dalam ayat yang berpredikat frasa adjektif (FA) dan ayat yang berpredikat frasa sendi nama (FSN). Rumus ini dapat diskemakan seperti yang berikut:
(3) “ialah” –> FN + FN
“adalah” –> FN + FA
FN + FSN

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mac

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *