Panduan Membezakan Perkataan dengan Betul

      No Comments on Panduan Membezakan Perkataan dengan Betul

Oleh Roslan Daud

Semasa menyemak karangan murid, sering kali penulis menemukan beberapa contoh kekeliruan tentang penggunaan kata sehingga menjejaskan penyampaian maksud. Berikut antara petikan ayat yang sering temui dalam binaan karangan murid.

a. Selain itu, amalan bersukan dapat mencergaskan otak.
b. Di samping itu, aktiviti bersukan dapat mencerdaskan otak.
c. Makanan yang sihat amat penting untuk membantu pertumbuhan otak kanak-kanak.
d. Kita perlulah makan makanan yang berkhasiat bagi menjamin kesihatan.

      Apabila ditanya kepada murid sebab mereka menggunakan perkataan pada konteks yang salah, ada yang bertanya semula, “Mengapa pula salah?” Tidak kurang juga yang menjawab, “Eh, betullah tu cikgu!” Kekeliruan penggunaan kata bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh oleh murid. Hal ini dikatakan demikian kerana kesalahan penggunaan kata sudah pasti menjejaskan penyampaian maksud. Jika hal ini berlaku dalam karangan, sudah pasti markah yang
diperoleh akan terjejas. Berikut diberikan maksud bagi perkataan cerdas dan cergas berserta contoh ayat yang menunjukkan penggunaannya yang tepat.

Perkataan

Maksud

Contoh ayat

cerdas 1. sempurna akal, cerdik, pintar

2. sempurna pertumbuhan (perkembangan badannya)

Otak yang cerdas boleh diperoleh dengan cara bersukan dan mengambil makanan tambahan.
cergas 1. bertenaga dan giat, aktif

2. pantas, cepat

3. banyak menjalankan atau terlibat dalam kegiatan

4. banyak kegiatannya menjual dan membeli (berkenaan pasaran saham)

5. masih mengeluarkan wap dan lahar (berkenaan gunung berapi)

Apabila kita rajin bersenam, badan yang cergas boleh kita peroleh.

Bagi membantu murid agar benar-benar dapat membezakan penggunaannya, pembelajaran dengan menggunakan kamus amatlah tepat dan digalakkan. Selain proses pembelajaran kendiri dengan menggalakkan murid mencari makna, penggunaan kamus dapat membantu murid agar lebih faham dan tahu penggunaan setiap perkataan dengan tepat. Untuk proses pembelajaran dan pengajaran, guru boleh menyediakan beberapa pasangan perkataan dan menyuruh murid menulis maksud berdasarkan kamus. Selepas itu, murid perlu membina ayat berdasarkan maksud yang diperoleh.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mac

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *