Soal Jawab Bahasa Mac

      No Comments on Soal Jawab Bahasa Mac

Oleh Abdul Ghalib Yunus

Kering kontang atau kering-kontang

Soalan:
Saya keliru tentang perkataan “kering kontang” dan ‘kering-kontang’. Kedua-dua perkataan ini terdapat dalam Kamus Dewan. Apakah pendapat cikgu tentang hal ini?
Daripada:
Faizah Khamis, Taman Seraya, Ampang.

Jawapan:
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kering-kontang dieja dengan dua cara, iaitu ada tanda sempang dan tiada tanda sempang. Dengan berdasarkan kata masukan kering, terdapat perkataan kering-kontang yang disenaraikan. Maksud perkataan itu ialah tidak berair atau sudah tidak berair lagi. Jika kita melihat kata masukan kontang pula, makna yang diberikan ialah tidak berair atau kering. Dalam kata masukan ini, diberikan perkataan kering kontang (tanpa tanda sempang). Maksudnya ialah sedikit pun tidak berair atau kering sekali. Persoalannya ialah adakah kata kering-kontang atau kering kontang tersebut kata ganda atau rangkai kata?

       Prinsip untuk menentukan sesuatu perkataan itu kata ganda atau bukan ialah perkataan kedua tidak boleh berdiri sendiri atau tiada makna. Namun begitu, perkataan kering dan kontang dalam kata ganda kering-kontang mempunyai makna yang tersendiri dan kedua-dua perkataan itu mempunyai kata masukan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Oleh itu, apakah ejaan yang tepat bagi perkataan kering-kontang? Kering-kontang atau kering kontang? Oleh sebab kedua-dua perkataan itu mempunyai makna yang berbeza, maka perkataan yang tepat ialah kering kontang.

Justeru

Soalan:
Rangkai kata “justeru itu” banyak digunakan oleh pengguna bahasa pada pangkal ayat? Mengapakahkesalahan ini seperti virus bahasa yang sukar dirawat?
Daripada:
Muhaimin, Sabak Bernam.
Jawapan:

Pengguna bahasa masih menggunakan rangkai kata “justeru itu” kerana menganggap bentuk itu sebagai betul. Bukan itu sahaja, masih banyak pengguna yang menggunakan perkataan “Justeru” sebagai penanda wacana, sedangkan perkataan itu ialah kata hubung.

      Penggunaan rangkai kata “justeru itu” salah dari segi tatabahasa kerana perkataan “justeru” digunakan sebagai penanda wacana yang bermaksud “oleh”. Perkataan ‘justeru’ sebenarnya bukan penanda wacana, sebaliknya perkataan “justeru” ialah kata hubung. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, perkataan “justeru” bermaksud kebetulan, tepat, kena benar.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mac

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *