Kesejahteraan Sosial Melalui Penerbitan Buku

Oleh MD. SIDIN AHMAD ISHAK

Jumlah dan jenis buku yang diterbitkan setiap tahun dianggap sebagai indeks penting terhadap standard kehidupan dan tahap pendidikan serta kesedaran kendiri

sesebuah negara. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memantau statistik dalam bidang sosial ini dengan teliti dan setiap tahun mendokumentasikannya untuk melihat kemajuan sesebuah negara sebagaimana pemantauan terhadap bidang pertanian atau industri pembuatan yang terkandung dalam sektor ekonomi. Buku yang dikelompokkan dalam kategori budaya dan komunikasi merupakan salah satu komponen sosial utama yang sejajar dengan bahan bercetak lain, sama ada berkala ataupun tidak berkala.

Dalam Buku Tahunan Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di bawah data penduduk dan penempatan manusia, terdapat subtajuk budaya yang mengkhusus pada maklumat tentang akhbar, pengeluaran buku, terbitan berkala, radio dan televisyen. Rangka kerja yang digunakan oleh banyak organisasi, seperti UNESCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berfokus pada konsep pembangunan sebagai instrumen untuk mewujudkan keadaan hidup yang lebih baik. Pengiktirafan terhadap industri penerbitan adalah kerana peranan besar yang dimainkannya sebagai asas perkembangan dalam bidang literasi dan pendidikan, iaitu bidang yang boleh membawa masyarakat ke arah pemerkasaan atau pengupayaan mereka.

Dengan kata lain, industri penerbitan merupakan saluran penting dalam penyebaran pengetahuan. Dengan demikian, diandaikan bahawa kemajuan dalam industri penerbitan dapat membina dan menyebarkan ilmu yang seterusnya akan menyebabkan peningkatan dalam pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *