Kata Majmuk dalam Bahasa Melayu

      No Comments on Kata Majmuk dalam Bahasa Melayu

Oleh S. Nathesan

      Kata majmuk secara umum difahami sebagai gabungan dua atau lebih perkataan. Asraf (2007) dalam Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu menyatakan kata majmuk ialah dua atau lebih daripada dua patah kata dasar digabungkan untuk membentuk satu kata baharu yang padu atau sebati maknanya. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) pula menerangkan kata majmuk sebagai perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar; bentuk yang terhasil membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit.

     Walaupun pengguna bahasa Melayu sudah memahami hal tersebut, namun dalam kalangan
mereka ada yang masih keliru dan kurang memahami konsep atau maksud kata majmuk. Pengguna bahasa Melayu, misalnya telah mengajukan lebih 360 kemusykilan tentang penggunaan kata majmuk dalam Khidmat Nasihat Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP untuk mendapatkan penjelasan. Hal ini menunjukkan bahawa masih ada sebilangan pengguna bahasa Melayu yang kurang jelas akan maksud serta penggunaannya.

      Dalam hal ini, ada beberapa perkara asas yang perlu difahami tentang kata majmuk dalam bahasa Melayu. Pertama, pada prinsipnya semua kata majmuk hendaklah ditulis atau dieja secara terpisah. Contohnya, atur cara, keluar masuk, alat tulis, bola lisut dan lebuh raya. Hal ini juga bermakna kata majmuk tidak boleh ditulis secara bercantum atau serangkai, seperti *keretapi, *ubahsuai, *temubual, *gambarajah, *kapalterbang dan *tengahari. Kata majmuk tersebut hendaklah dieja kereta api, ubah suai, temu bual, gambar rajah dan tengah hari berdasarkan rumus bahawa kata majmuk hendaklah ditulis secara terpisah.

     Walau bagaimanapun dalam hal ini, menurut Tatabahasa Dewan terdapat 14 kata majmuk yang masih ditulis secara bercantum, atas dasar pengecualian dan mantap penggunaannya. Lihat senarainya dalam Jadual 1 di bawah:

Jadual 1 Senarai kata majmuk yang mantap.

1. suruhanjaya 8. setiausaha
2. olahraga 9. jawatankuasa
3. pesuruhjaya 10. tandatangan
4. matahari 11. kakitangan
5. antarabangsa 12. warganegara
6. sukarela 13. kerjasama
7. bumiputera 14. tanggungjawab

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mac

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *