Potensi Mengantarabangsakan Bahasa Melayu

      No Comments on Potensi Mengantarabangsakan Bahasa Melayu

Oleh Noor Abdul Rahman

       Bahasa Melayu telah mencapai taraf sebagai bahasa antarabangsa, jika jumlah penutur diambil kira sebagai syarat utama bagi memberikan definisi antarabangsa bagi satu-satu bahasa. Atau, jika taraf antarabangsa itu diukur daripada kegemilangan sejarah kedudukan sesuatu bahasa itu di persada antarabangsa, maka bahasa Melayu telah lama mencapai pengiktirafan sebagai bahasa antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana dari aspek jumlah penutur bahasa Melayu telah lama mencapai lebih daripada 300 juta orang pengguna di seluruh dunia. Malah, jika dilihat dari segi kedudukan, bahasa Melayu merupakan bahasa keempat dalam turutan bahasa terbesar di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi atau bahasa Urdu. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu masih lagi tidak mendapat perhatian dan keistimewaan sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang gah di persada dunia. Mengapakah hal ini terjadi?

      Pengantarabangsaan bahasa bermaksud satu-satu bahasa itu telah mampu menjadi alat perhubungan komunikasi yang lengkap dan seragam dalam semua aspek kemajuan sesebuah negara bangsa atau ketamadunan yang memberikan pengaruh besar terhadap masyarakat di seluruh dunia. Hal ini bermakna, bahasa yang dikatakan sebagai bahasa antarabangsa itu perlu mampu untuk digunakan sebagai medium utama dalam segala perkara yang mendorong ke arah pembentukan sebuah masyarakat dunia yang saling memahami dan berpotensi untuk bersetuju dengan penggunaan alat komunikasi yang sama itu.

      Rahman Shaari, dalam satu program bicara bahasa baru-baru ini menjelaskan bahawa pengantarabangsaan bahasa melibatkan penggunaan satu-satu bahasa itu dalam tiga aspek penting kemajuan dunia, iaitu penggunaan bahasa tersebut sebagai alat penyampaian pelbagai ilmu, sebagai medium komunikasi pelbagai bentuk yang digunakan dalam semua urusan, serta sebagai alat pembangunan ekonomi seperti penggunaan dalam urusan perdagangan dan jual beli. Persoalannya adakah bahasa Melayu telah mencapai ke tahap bahasa antarabangsa seperti yang didefinisikan ini?

      Usaha ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu telah lama dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), misalnya telah menjalankan pelbagai usaha bagi merealisasikan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai antara bahasa utama di dunia. Penubuhan Majlis Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada tahun 1997 merupakan salah satu usaha pihak berkaitan ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu. Selain itu, institusi pengajian tinggi juga telah banyak menjalankan kajian berkaitan potensi mengantarabangsakan bahasa Melayu dengan penganjuran pelbagai program kebahasaan di dalam dan luar negara sebagai usaha ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *