Bergaya dengan Bahasa

      No Comments on Bergaya dengan Bahasa

 

      Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh pernah menyatakan hanya di Malaysia akan terdengar perbualan masyarakat seharian yang kasar. Kasar dalam erti kata dialog atau pemilihan perkataan yang digunakan. Beliau menyatakan lihatlah suasana perbualan di mana-mana tempat, khususnya di kedai mamak. Kita sentiasa terdengar perkataan atau dialog yang kasar dan keras. Kenyataan ini  sangat menarik jika dilihat dari pelbagai perspektif.

     Bahasa bukan hanya bertujuan untuk berkomunikasi semata-mata. Kebanyakan ahli falsafah berpandangan bahawa bahasa merupakan pentakrif manusia. Dengan bahasa, kita boleh menilai dan mengagak tingkah laku dan perangai seseorang. pemilihan perkataan, cara dan gaya berbahasa menunjukkan personaliti, sikap dan sifat seseorang. Bak kata pepatah, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan atau betina. Begitulah juga halnya dengan soal bahasa. Kita juga dapat mengetahui gaya dan pemikiran seseorang itu hanya dengan mendengar butir kata yang keluar dari mulutnya.

     Kenyataan Sasterawan Negara tersebut kelihatannya benar. Pandangan tersebut terbukti jika kita sering memerhati tutur kata masyarakat sekeliling. Memang tidak dapat dinafikan ada segelintir masyarakat yang sering menggunakan bahasa yang lembut dan sopan. Persoalannya, mengapakah wujud suasana percakapan yang kasar dan keras seperti yang dinyatakan tersebut? Adakah keadaan tersebut hanya berlaku pada zaman sekarang? Mungkin bahasa yang terdapat dalam media sosial kini turut mempengaruhi gaya bahasa seseorang. Bukan hanya sekadar mempengaruhi gaya bahasa, malah tempiasnya turut terkesan pada pemikiran. Pemikiran yang kritis hanya akan berlaku jika diiringi dengan gaya bahasa yang teratur. Bergaya dengan bahasa, pemikiran pun sasa.

Kent

Bangi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *