Cadangan yang Wajar Dipertimbangkan

      No Comments on Cadangan yang Wajar Dipertimbangkan

 

      Sebelum mendapat kad pengenalan, jika mereka tidak tahu berbahasa Melayu, iaitu bahasa pertuturan di negaranya, jangan bagi kad pengenalan biru. Sebaliknya, bagilah kad pengenalan merah jika mereka tidak tahu berbahasa Melayu.” Demikianlah saranan tokoh akademik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling tentang rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu perlu diberikan kad pengenalan merah atau kerakyatan sementara terlebih dahulu, sehingga mereka tahu berbahasa Melayu dengan baik dan betul.

    Saranan beliau supaya kanak-kanak tidak kira apa-apa kaum perlu menguasai bahasa kebangsaan terlebih dahulu sebelum mendapat kad pengenalan biru itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada seluruh pihak. Ada yang memberikan reaksi positif, malah tidak kurang juga yang memberikan respons negatif, terutamanya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu dan Melayu liberal.

      Tegasnya, cadangan beliau yang menyarankan kerajaan supaya menangguhkan taraf kerakyatan sekiranya mereka tidak tahu asas bahasa Melayu, lebih-lebih lagi tidak mampu berkomunikasi dengan anggota masyarakat lain di negara ini langsung tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak yang berkenaan seolah-olah lupa bahawa syarat asas untuk mendapatkan kad pengenalan termasuklah pemohon perlu fasih berbahasa Melayu. Mereka juga lupa tentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia yang meliputi kerakyatan kepada bukan Melayu, menerima kedudukan Islam, kedaulatan raja-raja Melayu, hak istimewa peribumi serta martabat bahasa Melayu yang harus dijunjung.

      Meneliti cadangan yang dikemukakan oleh tokoh akademik tersebut, kelihatannya agak ekstrem, namun masyarakat tidak boleh lagi memandang enteng terhadap kedudukan bahasa Melayu yang semakin rapuh, terutamanya dalam kalangan generasi muda sehingga bilangan kanak-kanak yang lebih fasih berbahasa Inggeris kini semakin menjadi trend di bandar-bandar besar. Mereka langsung tidak mahu bertutur dalam bahasa Kebangsaan. Jika adapun, dalam nada yang pelat ala Inggeris.

       Pada masa yang sama, pihak terbabit tidak perlu melenting kerana tokoh tersebut hanya menyebut tentang kemahiran asas bahasa Melayu untuk membolehkan komunikasi asas dengan masyarakat lain, bukannya menggunakan bahasa yang berlaraskan akademik seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan atau Tatabahasa Dewan. Jika diteliti, cadangan pihak tertentu sebelum ini supaya menarik balik kerakyatan jika mereka terus-menerus tidak boleh berbahasa Melayu boleh dikatakan cukup ekstrem, namun cadangan Zainal ini boleh dilihat sebagai “gurauan” untuk menyedarkan mereka dalam isu kerakyatan bersyarat ini. Cadangan beliau juga dilihat agak berlapik. Oleh itu, mengapakah ada pihak yang begitu cepat melenting?

Abd. Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *