Aku Penuntun Bahasa

      No Comments on Aku Penuntun Bahasa

Oleh Nursyafikah Rahim

Usai sai menunaikan solat Subuh, dengan perlahan dia menghidupkan enjin motosikalnya. Bunyi enjin tua itu menderu meninggalkan masjid. Setibanya di halaman rumah, kekunci motosikal dimatikan. Rumah batu tersebut masih lagi gelap dan hanya diterangi lampu di bahagian dapur. Dia segera mencapai dedak jagung dan ditaburkan di halaman rumahnya. Ayam-ayam yang terkurung, dilepaskan. Suasana hening dipecahkan dengan keriuhan bunyi ayam berkokok, mencicip dedak jagung yang ditabur. Awan masih lagi tidak menampakkan kesiangannya. Namun, dia tetap dengan rutin hariannya selepas bergelar sebagai guru pencen. Menaiki motosikal tua mengelilingi kampung setiap pagi usai saja menunaikan solat subuh dan melepaskan ayam ternakan dari reban yang dibina sejak sekian lama. Status sebagai Ketua Kampung bukanlah halangan baginya untuk meninggalkan rutinnya itu. Dia masih lagi seorang lelaki yang gagah. Ada kalanya, dia menghantar cucu ketujuhnya, Aizat ke sekolah. Angin pagi kampung seakanakan menjadi aroma paling berharga buatnya yang tidak pernah jemu menyedut hingga ke rongga hidung.

       Melintasi bangunan yang membawa 1001 kenangan itu mengusik jiwanya. Kenangan yang pernah tercipta sejak memulakan tugas sebagai pendidik mula melangkau ke seluruh pelosok ingatannya. Sejenak enjin motosikalnya dihentikan di hujung susur gajah hadapan sekolah itu. Haji
Jali melihat keadaan sekeliling. Anak-anak kecil berpakaian putih kemas dihantar kedua orang tuanya. Ada yang masam mencuka wajahnya, ada yang tidak menghiraukan orang tua yang menghantar, ada yang tersenyum lebar dicium dan dihulurkan wang saku oleh orang tuanya saat berpisah malah ada yang datang dengan kosong jiwanya. Bunyi nyaring loceng yang ditekan jelas kedengaran hingga Haji Jali sedikit terkejut. Kanak-kanak itu berpusu-pusu melepasi pagar, bimbang kalau-kalau nama mereka tercatat dalam buku laporan pengawas. Dia terus memerhati suasana yang telah sekian lama ditinggalkan selepas tidak lagi bertugas sebagai seorang pendidik. Tiba-tiba dia disapa oleh seseorang dari arah belakang.

Cerpen ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran Februari

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *