Peribahasa Melayu tentang Lidah

      No Comments on Peribahasa Melayu tentang Lidah

Oleh Ridzuan Kamis

      Lidah merujuk Kamus Dewan ialah bahagian di dalam mulut yang boleh digerak-gerakkan. Lidah digunakan sebagai alat perasa, bercakap, menjilat, menjelir dan meludah. Dengan kata lain, lidah ialah isi lembut yang tidak bertulang dan terletak di dalam rongga mulut bersekali dengan gigi serta air liur. Lidah dapat dikategorikan sebagai salah satu pancaindera manusia yang amat penting. Tanpa lidah seseorang tidak mampu bertutur dengan sempurna, merasa kesedapan makanan malah berkemungkinan menyukarkan seseorang manusia untuk makan.

      Pada dasarnya lidah mempunyai empat bahagian utama untuk merasai makanan secara normal, iaitu manis, masam, masin dan pahit. Dalam bidang sains, lidah merupakan organ yang berfungsi sebagai reseptor kimia untuk menerima rangsangan berupa cairan, pejalan atau larutan sebelum ditelan ke dalam perut.

       Terdapat dua otot yang berperanan aktif pada gerakan lidah yakni otot intrinsik dan otot ekstrinsik. Otot intrinsik berfungsi mengatur gerakan-gerakan halus lidah, manakala otot ekstrinsik berfungsi mengaitkan lidah pada bahagian sekitarnya selain membantu lidah dalam melakukan beberapa gerakan kasar seperti menekan gigi, menekan rongga mulut, menekan bahagian atas dan bawah bibir.

        Dalam konteks bahasa Melayu, lidah merupakan kiasan kepada perkataan atau tutur kata yakni menggambarkan lembut dan fasih lidahnya. Lidah juga boleh menunjukkan sesuatu benda yang menyerupai lidah seperti lidah kain, lidah serunai dan banyak lagi. Lidah juga merujuk bahagian yang menganjur daripada sesuatu benda misalnya lidah tanah, lidah api dan lidah air.

Jadual 1 Kata majmuk yang berkaitan dengan lidah.

Bilangan Kata Majmuk Maksud
1. lidah pengarang Rencana pengarang.
2. lidah tanah Tanjung pada selekoh sungai.
3. lidah api Hujung nyala api yang menjilat-jilat.
4. lidah air Bahagian tepi air
5. lidah dacing Jarum penunjuk berat pada dacing.
6. lidah pendusta Bercakap bohong
7. lidah papan Bahagian yang menghubungkan papan.
8. lidah rasmi Akhbar yang mengeluarkan berita rasmi sesuatu parti.
9. lidah serunai Bahagian serunai yang mengeluarkan bunyi.
10. lidah ombak Hujung ombak / ombak yang di depan sekali.
11. lidah manis Baik tutur katanya.
12. lidah pendeta Kata-kata hikmat daripada orang yang bijaksana.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *