Kata Pinjaman dan Keperluannya

      No Comments on Kata Pinjaman dan Keperluannya

Oleh Rahman Shaari

      Sesekali penulis terdengar suara ‘pencinta bahasa’ tertentu memperkecil penggunaan kata pinjaman. ‘Pencinta bahasa’ itu menyindir, bahawa kata pinjaman menyebabkan bahasa Melayu jadi “mualaf”. Dia terlupa, bahawa perkataan “mualaf’ pun kata pinjaman juga. Selain itu, dia juga lupa bahawa perkataan “mualaf” tidak membawa konotasi negatif.

     Bagi pandangan individu yang berkenaan, perkataan kegiatan sudah ada, jadi tidak perlu lagi perkataan aktiviti. Demikian juga perkataan rancangan sudah ada, maka tidak perlulah lagi perkataan program. Sebarang kata pinjaman yang mendukung makna yang sama dengan padanan dalam bahasa Melayu, ditolak oleh ‘pencinta bahasa’ itu.

      Selagi ada perkataan yang sama makna, penulis bersetuju untuk kita mengutamakan bahasa Melayu. Ertinya, penulis tidak bersikap fanatik untuk menolak kedua-dua patah kata pinjaman di atas (aktiviti dan program), dan banyak lagi perkataan lain yang seumpamanya. Bagi penulis, apabila kata pinjaman termuat dalam Kamus Dewan, kata pinjaman itu sah untuk digunakan.

       Jika makna kata pinjaman itu sama betul dengan dengan makna kata yang sedia ada dalam bahasa Melayu. Seseorang boleh memilih sama ada kata pinjaman yang telah diterima baik, atau kata yang sedia ada dalam bahasa Melayu. Perlu diingatkan bahawa sejarah menunjukkan pengguna bahasa ialah penentu penerimaan atau penolakan kemasukan kata pinjaman. Sebagai contoh, kita mempunyai perkataan barah, tetapi kita selalu menyebut perkataan kanser, iaitu kata pinjaman yang berasal daripada bahasa Inggeris.

      Dalam keadaannya sebagai satu pilihan, setiap kata pinjaman sentiasa digunakan oleh seseorang dengan selesa. Berkaitan dengan hal ini, Prof. Abdullah Hassan ada menyebut Teori Himpunan Memori. Asraf juga ada menyebutkan hal ini dalam dekad 1980-an. Orang yang ingin bersikap tulen, iaitu yang memilih kata-kata yang sedia ada dalam bahasa Melayu, kerap juga tersasul. Sebagai contoh, ‘pencinta bahasa’ itu pernah menyebutkan perkataan sensitif, kerana dia terlupa adanya perkataan peka dalam bahasa Melayu. Dia perlu berlatih menggunakan perkataan peka agar tidak tersasul lagi. Bagi sesiapa yang sedar bahawa perkataan sensitif telah diterima baik, hal itu tidak menjadi masalah.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *