Gambaran Tepat tentang Istilah

      No Comments on Gambaran Tepat tentang Istilah

Judul : Takrif Kamus Istilah dari Perspektif Pengguna

Penulis: Hasnah Mohamad

Harga: RM 30.00

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (2016)

Pengulas: Siti Nur Hidayah Othman Bakar

      Perkembangan semasa dalam pembinaan dan penyebaran ilmu berkait rapat dengan peningkatan aktiviti pembentukan istilah. Kamus istilah merupakan salah satu jenis kamus khusus, iaitu kamus yang mendukung satu juzuk dalam keseluruhan unit leksikal dalam sesuatu bahasa. Buku ini menjelaskan kaedah untuk menggabungkan pelbagai pendekatan bagi menangani masalah takrif kamus istilah supaya dapat menghasilkan panduan pentakrifan yang lebih jelas.

     Selain itu, penulis turut mengemukakan kajian yang menggunakan data takrif kamus istilah kejuruwatan daripada beberapa penerbit dalam negara dan luar negara serta takrif umum bagi entri daripada kategori tertentu yang diambil daripada beberapa buah kamus umum. Kepelbagaian takrif bagi entri tersebut seterusnya dianalisis bagi mendapatkan takrif baharu. Penganalisisan yang dilakukan dapat menghuraikan ciri-ciri takrif yang menjadi pilihan pengguna.

      Beranalogikan prinsip perkamusan bahawa kamus istilah yang baik sepatutnya memberikan gambaran tepat tentang makna sesuatu istilah pada sesuatu masa. Pada bahagian awal, penulis menjelaskan takrif dalam kamus istilah. Kepelbagaian takrifan tentang kamus istilah serta konsep pembentukan istilah juga diperincikan oleh penulis dengan memetik definisi daripada pakar dalam bidang perkamusan.

     Bab kedua pula membincangkan teori dan amalan perkamusan yang terbahagi kepada dua, iaitu leksikografi dan terminografi. Leksikografi ialah proses yang berkaitan dengan pemerian makna semua atau sesetengah kosa kata sesuatu bahasa untuk menangani kosa kata berkenaan. Sementara itu, terminografi pula kerja yang berkaitan dengan pengumpulan, penghuraian, pemprosesan dan penyampaian kosa kata milik penggunaan yang khusus dalam satu atau beberapa bahasa. Selain itu, terdapat juga penerangan tentang sejarah pembentukan takrif kamus serta penerapan teori umum peristilahan dan teori relevan.

      Pencirian jenis-jenis takrif berdasarkan beberapa ahli leksikografi tersohor dijelaskan dalam bab ketiga. Bab ini memaparkan persamaan dan perbezaan beberapa contoh takrif sedia ada untuk mengenal pasti takrif yang terbaik mengikut keperluan pengguna. Di samping itu, pemaparan daripada contoh takrif tersebut, kaedah penyusunan takrif cadangan berlandaskan teori linguistik turut dihuraikan dalam bab ini.

      Penulis turut menerangkan analisis terhadap contoh-contoh takrif yang menjadi pilihan pengguna dalam bab keempat. Untuk tujuan itu, pelbagai faktor yang mempengaruhi pilihan pengguna terhadap sesuatu takrif yang disenaraikan. Seterusnya, huraian terperinci tentang takrif berkaitan dibuat berlandaskan faktor-faktor yang mempengaruhi pilihan pengguna. Penelitian yang dikemukakan dalam buku ini juga membuktikan bahawa peratus pengguna yang memilih takrif dalam bahasa Melayu adalah tinggi berbanding dalam bahasa Inggeris. Selain itu, dalam kerja pentakrifan, pendraf seharusnya tidak membuat praandaian, atau beranggapan bahawa kenyataan tersebut difahami oleh pengguna. Sebaik-baiknya, keterangan perlulah sejelas yang mungkin dan tidak membawa konotasi yang lain.

      Rumusan tentang takrif yang disusun mengikut keperluan pengguna demi memantapkan lagi kamus istilah yang bakal diterbitkan dihuraikan dengan jelas dalam bab kelima. Penggabungan pelbagai ciri yang dirumuskan dalam bab ini dapat diterjemahkan supaya dapat menjadi panduan pengguna untuk penyusunan takrif kamus istilah. Keperluan kamus sebagai rujukan adalah selaras dengan Dasar Buku Negara untuk memperbanyak terbitan dalam bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, buku ini harus dijadikan panduan untuk membantu kerja pendrafan kamus istilah yang terbaik mengikut keperluan pengguna serta berlandaskan teori linguistik terkini.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *