Soal Jawab Bahasa Februari

      No Comments on Soal Jawab Bahasa Februari

Oleh Abdul Ghalib Yunus

      Sinkope

Soalan:
Apakah makna sinkope yang sebenarnya? Saya ingin mengemukakan soalan ini kerana banyak orang yang beranggapan bahawa kata ganti nama singkat seperti kau, ku dan mu sebagai sinkope. Apakah pendapat tuan tentang hal ini?
Daripada:
Ramzila Salleh,
Seremban.
Jawapan:
Jika kita merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga, sinkope ialah pemendekan sesuatu kata dengan menggugurkan satu atau lebih huruf atau suku kata dari tengah-tengah kata itu. Contoh:
mahu——mau
juga —– jua
sahaja —–saja
tetapi —-tapi
tidak ——tak
dahulu —–dulu
Dalam perkataan di atas, huruf yang digugurkan seperti h, g, ah, et, id dan ah terletak di tengah-tengah kata seperti mahu, jua, sahaja, tetapi, tidak dan dahulu untuk membentuk mau, jua, saja, tapi, tak dan dulu.
Oleh hal yang demikian, mu, kau, ku dan banyak lagi yang seperti ini bukan sinkope. Ku, mu dan kau ialah klitik. Klitik ialah kata ganti nama diri yang disingkatkan. Perkataan yang mengalami pengguguran huruf vokal atau konsonan dalam sesuatu suku kata pula dikenali sebagai singkatan seperti dgn (dengan), yg (yang), spt (seperti) dan sebagainya. Perkataan ‘Mara’, ABIM, NATO dan kugiran pula merupakan akronim.

Majlis Anugerah Kecemerlangan

Soalan:

Frasa nama yang manakah yang perlu saya gunakan untuk majlis yang akan memberikan pelbagai anugerah kepada pelajar yang cemerlang seperti cemerlang mata pelajaran, cemerlang sahsiah, cemerlang kokurikulum dan cemerlang keseluruhan. Jika saya memilih frasa nama ‘Majlis Anugerah Cemerlang’, adakah frasa nama ini gramatis?
Daripada:
Hasnieda Salleh,
Tawau,
Sabah.

Jawapan:
Majlis Anugerah Cemerlang bermaksud majlis itulah yang cemerlang seperti sekolah cemerlang, atau pelajar cemerlang. Frasa nama yang tepat ialah Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang. Di sekolah, terdapat pelbagai anugerah yang diberikan kepada pelajar seperti anugerah pelajar cemerlang akademik atau anugerah pelajar cemerlang kokurikulum. Oleh hal yang demikian, frasa nama Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Akademik atau Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kokurikulum diadakan. Oleh sebab frasa ini panjang, maka frasa nama Majlis Anugerah Kecemerlangan yang lebih pendek dan sama maksud digunakan. Dalam hal ini, frasa nama Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang mempunyai maksud yang sama dengan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Namun demikian, frasa nama Majlis Anugerah Pelajar cemerlang tidak boleh dipendekkan menjadi Majlis Anugerah Pelajar. Hal ini berbeza dengan frasa nama Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Frasa ini boleh dipendekkan menjadi Majlis Anugerah Kecemerlangan. Pendapat yang mengatakan bahawa objek, iaitu pelajar perlu mengikuti Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang tidak benar. Objek hanya hadir selepas kata kerja transitif. Dalam bahasa Melayu, satu daripada prinsip frasa ialah binaan frasa boleh diperluas seperti yang berikut:
Majlis
Majlis Anugerah
Majlis Anugerah Pelajar
Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang
Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Akademik

atau
Majlis
Majlis Anugerah
Majlis Anugerah Kecemerlangan
Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik
Dari segi makna, MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK bermaksud majlis anugerah tentang hal-hal cemerlang yang berkaitan dengan akademik. Apakah hal-hal yang cemerlang? Pelajar cemerlang mata pelajaran, pelajar cemerlang keseluruhan, dan sebagainya. Melalui penjelasan ini, frasa nama Majlis Anugerah Kecemerlangan atau Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang lebih tepat daripada frasa nama Majlis Anugerah Cemerlang.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *