Unsur Bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu

      No Comments on Unsur Bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu

Oleh Ezwafahmey Ahmad Kusaini

      Pengaruh bahasa Inggeris meresap masuk ke dalam bahasa Melayu bermula pada abad ke-18 apabila pihak Inggeris bertapak di Pulau Pinang pada tahun 1786. Perjanjian Pangkor 1876 merupakan satu permulaan apabila pihak Inggeris berjaya menguasai bidang ekonomi dan sosial masyarakat tempatan sehingga pengaruh bahasa Inggeris terus dominan dan digunakan secara meluas. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan bahasa Inggeris begitu berpengaruh terhadap bahasa Melayu. Antaranya termasuklah:

i. Dasar pihak pemerintah Inggeris yang mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
ii. Bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa rasmi semasa zaman pemerintahan Inggeris.
iii. Pendidikan Inggeris yang meningkatkan penutur bahasa Inggeris dalam kalangan orang Melayu.
iv. Peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.
v. Perancangan bahasa Melayu yang menyerap istilah daripada bahasa Inggeris untuk membina bahasa Melayu menjadi bahasa moden.
vi. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Teknologi pada masa ini.
vii. Pengaruh media cetak dan elektronik, khususnya iklan yang banyak menggunakan perkataan bahasa Inggeris.

Pengaruh bahasa Inggeris terhadap bahasa Melayu
dapat ditinjau daripada beberapa aspek, iaitu:
i. Kosa kata.
ii. Imbuhan.
iii. Bunyi.
iv. Tulisan.
v. Nahu.

Istilah dan perkataan dalam bahasa Inggeris terus mendominasi kosa kata bahasa Melayu hingga kini. Perubahan kosa kata yang digunakan mengikut kesesuaian konteks dan ejaan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Hal ini dapat mempengaruhi dan meningkatkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam urusan rasmi atau tidak rasmi. Contohnya:

Jadual 1 Pengaruh bahasa Inggeris terhadap kosa kata bahasa Melayu.

Bahasa Melayu

Bahasa Inggeris

Aiskrim Ice-cream
Agensi Agency
Automatik Automatic
Demokrasi Democracy
Enjin Engine
Imej Image
Lori Lorry
Plastik Plastic
Teknologi Tecnology
Universiti University
Faktor Factor

        Peribahasa ialah kumpulan dua atau lebih perkataan yang bermakna, iaitu unsur bahasa kiasan yang telah mantap bentuknya. Dalam erti kata lain peribahasa merupakan ayat atau kumpulan kata yang tetap susunannya dan mempunyai maksud tertentu. Dalam konteks ini, bahasa Melayu turut meminjam beberapa peribahasa daripada bahasa Inggeris yang diterjemahkan terus perkataan tersebut.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *