Se-Imbuhan atau Kata Bilangan

      No Comments on Se-Imbuhan atau Kata Bilangan

Oleh Mohd Januri Aiyub

      Antara tiga perkataan, iaitu setinggi, sejuta dan sekawan yang manakah kata terbitan dan yang manakah pula kata bilangan dan penjodoh bilangan? Apakah penunjuk yang boleh digunakan untuk membezakan ketiga-tiga perkataan itu? Bahasa Melayu ialah bahasa yang istimewa, iaitu satu perkataan boleh membawa makna yang berbeza berdasarkan fungsi perkataan itu dalam ayat atau makna yang didukungnya apabila bercantum dengan perkataan yang lain. Berdasarkan contoh tiga perkataan itu, bentuk se- boleh berfungsi sebagai imbuhan awalan yang membentuk kata terbitan dan juga sebagai kata bilangan, serta digabungkan dengan kata nama penjodoh bilangan. Walaupun se- boleh dikategorikan kepada beberapa fungsi, makalah ini hanya memfokuskan se– sebagai kata bilangan.

     Imbuhan ialah sejenis morfem terikat yang bergabung dengan kata dasar lalu membentuk kata terbitan. Sebagai imbuhan, se- berfungsi sebagai imbuhan awalan yang bergabung dengan kata adjektif untuk menerbitkan kata adjektif terbitan. Golongan kata masih golongan kata adjektif manakala bentuk kata ialah sejumlah kata yang merujuk sifat sesuatu dan menjadi inti dalam binaan frasa adjektif. Contoh, kata adjektif cantik, pandai, luas, lincah dan tinggi apabila menerima awalan se- membentuk perkataan secantik, sepandai, seluas, selincah dan setinggi.

     Dari segi makna, kata adjektif terbitan yang terhasil dengan gabungan awalan se- mempunyai makna darjah perbandingan yang sama dan masih berfungsi untuk menjelaskan sifat yang sama seperti makna dalam kata dasarnya. Contoh, perkataan secantik, sepandai, seluas, selincah dan setinggi masing-masing membawa makna sama cantik, sama pandai, sama luas, sama lincah dan sama tinggi. Contoh kehadiran kata adjektif terbitan ini dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1a. Belum pernah dia melihat gadis secantik puteri itu.
1b. Mazni tidak sepandai kakaknya dalam subjek Matematik.
1c. Halaman rumah ayah tidaklah seluas halaman rumah jiran.
1d. Peminat bola sepak negara masih tercari-cari pemain selincah Mokhtar Dahari.
1e. Pencapaian pemain perseorangan badminton negara sebelum ini tidak setinggi pencapaian Datuk Lee Chong Wei.

      Kata adjektif terbitan berawalan se- berpotensi untuk diperluas melalui proses penggandaan. Contoh, perkataan sepuas, sebijak, secantik, sekuat, dan seluas apabila digandakan akan membentuk perkataan sepuas-puas, sebijak-bijak, secantik-cantik, sekuat-kuat, dan seluas-luas. Dari segi makna, kata ganda yang terhasil membawa maksud ungkapan darjah penghabisan kata adjektif itu.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *