Modul Pembelajaran Kendiri Komsas

      No Comments on Modul Pembelajaran Kendiri Komsas

Oleh Md Ishak A.Rahman

      Penggunaan bahan Komponen Sastera (Komsas) dalam pengajaran bahasa menjadi sebahagian daripada hasil pembelajaran bidang estetika yang wajar diberikan penekanan. Aspek yang dikuasai dalam bidang ini meliputi aspek kebahasaan, keindahan, dan kehalusan bahasa. Secara ringkasnya, tidak lengkap bagi seseorang yang mempelajari bahasa jika tidak menguasai aspek ini. Justeru, modul pembelajaran kendiri (MPK) tidak lengkap jika tidak memasukkan bidang sastera dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP).

     Apabila menyebut Komsas, ramai yang merujuk buku teks Komsas yang telah ditetapkan. Buku ini disediakan untuk memudahkan guru memilih bahan, dan memudahkan guru memberi persediaan kepada pelajar menghadapi peperiksaan. Namun begitu, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya sesekali guru menggunakan sumber bahan sastera lain dalam PdP Komsas, khususnya dalam penyediaan MPK.

     MPK bermatlamat untuk mengaplikasikan kefahaman, kemahiran, dan penghayatan pelajar dalam bidang bahasa dan sastera. Jika aktiviti MPK masih menggunakan bahan Komsas yang ditetapkan, pelajar hanya mengulangi pembelajaran di dalam bilik darjah untuk menghadapi peperiksaan. Aktiviti ini berupa latih tubi untuk menjawab soalan peperiksaan. Hal ini bermaksud pelajar kurang menghayati matlamat pembelajaran kontekstual dan konstruktif yang memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar. Mereka juga kurang menghargai karya sastera sebagai medium pemberi maklumat serta penghayatan kerohanian dan kesantunan dalam kehidupan seharian.

     MPK sama ada dilaksanakan secara individu atau kumpulan seharusnya dapat membentuk pelajar yang lebih yakin, faham, dan seronok untuk belajar sepanjang hayat. Dalam pembelajaran ini, pelajar bukan sahaja dapat menghayati keindahan bahasa dan pengetahuan secara tersurat dan tersirat, malah menjadi wacana berinteraksi dengan rakan dan masyarakat. Pelajar tidak lagi bergantung kepada guru atau buku rujukan dalam menilai karya sastera. Sebaliknya, pelajar menggunakan pengalaman sedia ada untuk menghayati bahan sastera.

     Guru boleh menggunakan bahan karya sastera daripada peninggalan penulis terdahulu seperti sajak Usman Awang yang terkenal dengan keindahannya, atau sajak terkini daripada penulis semasa yang segar. Pendedahan ini secara tidak langsung akan membuka jendela minat pelajar terhadap karya yang banyak tumbuh di laman sastera tanah air dan tidak jumud kepada buku teks semata-mata.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *