Nasib Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam

      No Comments on Nasib Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam

Oleh Nik Zahari Nik Man

    Berkembar Petronas ataupun lebih dikenali sebagai KLCC merupakan salah satu
mercu yang menjadi kebanggaan penduduk Malaysia. Namun begitu, hakikat yang tidak boleh dikesampingkan, penggunaan nama KLCC lebih popular. Agak janggal bagi masyarakat Malaysia untuk menyebut Menara Berkembar Petronas, malah sebahagian kecil masyarakat mungkin akan mengambil masa untuk berfikir menara yang dimaksudkan tersebut, lantaran kita membudayakan penggunaan bahasa asing dalam kehidupan termasuklah penggunaan nama tempat. Begitulah bahana penggunaan bahasa kedua yang kian mendapat tempat dalam kalangan remaja. Sebagai contoh, penggunaan nama Chow Kit Road juga tidak terkecuali yang tampak lebih sinonim dan popular berbanding dengan penggunaan Jalan Chow Kit yang merupakan subdaerah di tengah tengah Kuala Lumpur. Chow Kit dinamakan bersempena dengan nama seorang pelombong timah, Loke Chow Kit. Kini, kawasan tersebut mempunyai ciri-ciri mini Indonesia kerana pendatang Indonesia bukan sahaja berniaga di gerai-gerai kecil, malah memiliki gedung perniagaan yang besar.

     Selain penggunaan nama menara dan nama jalan, nama bersifat tidak kebangsaan bagi taman perumahan, gedung perniagaan atau institusi didapati turut menjadi pilihan dalam kalangan pemaju dan pemilik di pusat bandar ini. Hal ini telah berulang kali disuarakan oleh tokoh-tokoh bahasa di negara ini. Kebanyakannya menyuarakan kebimbangan memandangkan penggunaan nama tidak bersifat kebangsaan merupakan isu yang harus dibendung kerana jumlahnya semakin mendadak. Penggunaan bahasa asing dan rojak agak ketara apabila terdapat bangunan dan premis yang menggunakan nama seperti Putra Square, Centre Point, Malay Town, China Town dan India Town. Taman perumahan bercirikan bandar dalam taman dan kondominium turut mengangkat nama-nama menggunakan bahasa rojak, malah semacam menjadi trend kepada mereka meletakkan nama seperti Taman Parkland, Vista Verde, Casuarina Villa, Botanic Park dan Berjaya Park. Tidak ketinggalan juga nama seperti The Peak, Tivoli Villa, Vista Millennium, CasaPrima dan Park Avenue. Berbelit-belit lidah tatkala cuba membaca dan mengamati gegantung ketika melalui kawasan pembinaan projek seperti The Manhattan, Sentral Suites, City Living in KL, The Marin dan BelleVue.

      Barangkali kerana takdir sejarah yang meletakkan Yap Ah Loy sebagai peneroka Kuala Lumpur, maka nama Melayu semakin bersaing dengan nama asing untuk taman perumahan, projek pembinaan dan bangunan awam. Jika ada pun nama Melayu mungkin di kawasan separa bandar seperti Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Pandan.

      Nasib bahasa Melayu seperti kurang terbela. Lebih membimbangkan, senario peniaga asing yang bertindak meletakkan nama premis perniagaan dengan huruf ejaan mengikut negara masing-masing kian membarah. Kebanyakan hampir 70 peratus premis warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin dan Jalan Silang di Kuala Lumpur menaikkan papan tanda mengikut bahasa masing-masing walaupun telah dikenakan tindakan sebelum ini. Peniaga asing yang tidak berlesen pula menggunakan bahasa masing-masing seperti bahasa Nepal dan Bangladesh yang tulisannya lebih besar berbanding tulisan rumi bahasa Melayu. Tidak kurang juga, sebahagiannya daripada mereka menggunakan bahasa Melayu dan turut menyelitkan bahasa Urdu, serta bahasa Hindi.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *