Maruah Bahasa Semakin Tercalar

      No Comments on Maruah Bahasa Semakin Tercalar

Oleh Pauzi Mohd Isa

     Apabila membicarakan isu bahasa, menurut James R.Hurford dalam The Origins of Language: A Slim Guide, dianggarkan terdapat 7000 bahasa yang masih dituturkan di seluruh dunia. Sepuluh daripada jumlah tersebut dituturkan lebih 3.6 bilion orang penduduk dunia. Bahasa Melayu, yakni bahasa perantaraan di Malaysia, tergolong dalam kumpulan 10 bahasa tersebut. Pada dasarnya, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Indonesia, manakala di Malaysia disebut sebagai bahasa Melayu, setelah mengalami proses perubahan nama beberapa kali.

      Realitinya, penggunaan bahasa Melayu di negara ini bergantung pada faktor sejarah dan budayanya. Di Malaysia, walaupun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Maruah Bahasa pada 1968, tetapi penggunaan bahasa Inggeris masih digunakan secara meluas. Inilah hakikatnya, sedangkan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah melafazkan ikrar untuk mempertahankan penggunaan bahasa kebangsaan pada 22 Julai 1961, ketika berucap dalam satu perhimpunan rakyat, dengan menyatakan hal yang berikut:

    “ …Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan suka mengambil peluang ini untuk membuat pengakuan, bahawa selagi kami, memegang kuasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu itu, maka kami tidak akan undur setapak jua pun untuk mempertahankan Bahasa Kebangsaan yang tunggal, bagi negeri ini dan untuk melaksanakan pemakaiannya dengan sepenuhpenuhnya, manakala sampai tempoh yang telah ditentukan oleh perlembagaan itu”.

      Tegasnya, amanat ini sepatutnya dipegang dengan sesungguh hati dalam kalangan pemimpin, sekali gus dipertahankan dengan apa-apa cara sekalipun. Namun begitu, situasi hari ini, semacam ada cubaan untuk “meminggirkan” bahasa Melayu oleh tangan-tangan hitam apabila tidak lagi diamalkan secara sewajarnya. Walhal, soal bahasa tidak boleh dipandang remeh kerana membabitkan maruah dan jati diri bangsa.

      Tidak seperti di Indonesia, bahasa Melayu sudah terbukti berjaya menjadikan bahasa perantaraan lingua franca bagi rakyatnya yang berbilang kaum. Kegigihan kerajaan Indonesia mendaulatkan bahasa mereka wajar diteladani. Begitu juga di negara gajah putih, Thailand yang cukup komited menjunjung bahasa ibunda sendiri. Formula dan resipi ini yang harus kita pelajari daripada mereka. Di negara maju seperti Jepun, China dan Jerman juga tiada langsung menampakkan bunga-bunga kehancuran bahasa mereka. Kedaulatan bahasa ibunda mereka senantiasa dijaga, tanpa menggunakan bahasa asing, terutamanya dalam sistem pendidikan mereka, melainkan bahasa asing itu dipelajari sebagai bahasa tambahan atau bahasa kedua.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *