Bahasa Melayu, Bahasa Perpaduan?

      No Comments on Bahasa Melayu, Bahasa Perpaduan?

Oleh Najwa Yusuf

      Penulis sering tertanya-tanya, adakah bahasa Melayu masih menjadi bahasa perpaduan? Jika
benar ramai yang beranggapan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa perhubungan utama sekarang, maka bukankah boleh dikatakan bahasa Melayu tidak lagi relevan disebut sebagai bahasa perpaduan? Namun begitu, di balik persoalan tersebut, perkara yang wajar difikirkan adakah bahasa Melayu mendapat tempat dalam jiwa setiap rakyat Malaysia? Adakah “roh” bahasa Melayu tersimpan kukuh dalam sanubari warga Malaysia, tidak kira muda atau tua?

      Kemajmukan dan kepelbagaian masyarakat yang wujud dalam negara ini menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang unik dan istimewa. Tegasnya, perkara tersebut harus diikat dengan suatu bentuk dan simbol untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia memiliki suatu unsur kesepunyaan bersama yang harus dibanggakan. Apakah bentuk atau simbol tersebut? Tidak lain dan tidak bukan simbolnya ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, persoalan yang timbul ialah bagaimana simbol tersebut hendak ditonjolkan kepada dunia jika rakyatnya sendiri tidak menganggap bahasa Melayu merupakan “simbol sepunya”?

      Terdapat beberapa perkara yang wujud sehingga menyebabkan persoalan tersebut timbul. Pertama, bahasa yang digunakan semasa berkomunikasi antara kaum, atau sesama kaum sendiri. Realitinya, pada pemerhatian penulis, kaum yang bukan Melayu menggunakan bahasa kaum mereka masing-masing untuk berkomunikasi sesama mereka. Memang benar jika sesebuah kaum itu berkomunikasi dengan kaum yang lain, mungkin bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu, maka sebab itulah dinyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Tetapi, adakah bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa utama mereka? Jika sekadar menjadi bahasa untuk bertutur dengan kaum yang lain semata-mata, maka bolehkah dianggap mereka merendahkan taraf dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini dikatakan demikian kerana jika hendak diangkat menjadi simbol sesebuah negara, maka pastinya bahasa utama yang dituturkan dalam negara tersebut, yakni dalam konteks bahasa Melayu, harus diangkat darjatnya ke tahap yang lebih tinggi, bukannya sekadar menjadi bahasa pertuturan antara kaum semata mata.

      Selain itu, dalam sistem pendidikan negara, terdapat sekolah yang terdiri daripada pelbagai aliran. Kewujudan sekolah antarabangsa dan sebagainya sedikit sebanyak menjadi penghalang kepada bahasa Melayu untuk terus berkembang dan menjadi bahasa perpaduan. Sudah pasti bahasa utama yang digunakan di sekolah antarabangsa tersebut ialah bahasa Inggeris. Jika pada peringkat sekolah lagi bahasa Melayu tidak diutamakan dan dipandang enteng, maka tidak mungkin bahasa ibunda akan menjadi bahasa perpaduan dan menjadi simbol negara yang utuh?

      Penulis sering memerhatikan bahawa masih ada sebilangan rakyat Malaysia, sama ada Melayu, dan bukan Melayu yang sudah mencapai tahap “pencen”, tetapi masih tidak menggunakan dan berbahasa Melayu dengan baik dan betul. Ada yang sudah berpuluh tahun tinggal di Malaysia, tetapi masih tidak fasih, malah langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu. Bagaimanakah golongan veteran ini hendak menjadi suri teladan kepada generasi muda jika mereka sendiri tidak meletakkan martabat bahasa ibunda di tempat yang sewajarnya? Bagaimana pula dengan generasi yang terkemudian hendak mengagungkan dan mengangkat simbol negara jika mereka melihat di hadapan mata sendiri orang tua mereka tidak menggunakan bahasa Melayu? Sama-sama kita fikirkan.

Komentar ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *