Kisah Faiz dan Bahasa yang Masih Bergelut

      No Comments on Kisah Faiz dan Bahasa yang Masih Bergelut

 

       Cerita kemenangan Mohd. Faiz Subri di Anugerah Puskas FIFA 2016 pada 10 Januari lalu bukan sahaja menjadi kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia, malah pencapaian beliau turut menjadi bualan hangat dan perhatian semua peminat bola sepak di seluruh dunia.

     Namun begitu, di balik kejayaan itu, terdapat segelintir pihak mengkritik Faiz kerana gagal berbahasa Inggeris dengan baik semasa berucap di atas pentas anugerah berprestij tersebut. Terdapat juga individu yang meluahkan rasa kecewa kerana Faiz tidak menggunakan peluang tersebut untuk berucap dalam bahasa Melayu.

      Sebelum ini, Faiz dilaporkan pernah memberitahu sebuah akhbar arus perdana bahawa jika dirinya dinobatkan sebagai pemenang, beliau mahu berucap dalam bahasa Melayu. Beliau juga berhasrat untuk memakai baju Melayu yang lengkap semasa menghadiri majlis penganugerahan tersebut. Walau bagaimanapun, semuanya tidak menjadi kenyataan apabila berlaku perkara di luar kawalan dan jangkaannya sendiri.

       Segala-galanya bermula apabila beliau tidak mendapat kebenaran daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk berucap dalam bahasa ibunda, yakni bahasa Melayu. Jelas beliau, FIFA hanya membenarkan pemenang berucap dalam bahasa Inggeris, Sepanyol dan Perancis kerana tidak dapat menyediakan penterjemah, terutama untuk acara yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia. Pada masa yang sama, Faiz juga terpaksa melupakan hasratnya untuk memakai baju Melayu kerana keadaan cuaca di Zurich yang terlalu sejuk sehingga mencecah 3° Celsius.

      Memang rasa ralat itu tidak dapat dinafikan kerana sememangnya menjadi harapan masyarakat, lebih-lebih lagi pencinta bahasa di negara ini untuk melihat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bergema di pentas dunia. Namun begitu, masyarakat juga harus melihat sesuatu yang terjadi itu dengan fikiran yang matang dan menilai kewajarannya dari pelbagai sudut di balik peristiwa yang berlaku.

      Jika kita tidak berada di tempat beliau, janganlah kita menilai peristiwa luaran itu melalui pandangan mata kasar sahaja. Jangan “kuman di seberang laut kita nampak, bangkai gajah di depan mata” kita tidak nampak atau buat-buat tidak tahu. Pendek kata, kemelut bahasa yang sedang berlaku dalam negara tidak kita hiraukan, tetapi insiden kecil yang berlaku di luar negara cuba dibesarkan. “Saya hanya diberi masa 30 saat untuk berucap. Jadi, perasaan pada ketika itu terlalu gementar sehingga saya tidak jumpa ucapan yang telah saya sediakan lebih awal dalam telefon bimbit,”. Begitulah penjelasan Hafiz semasa mengulas tentang tindakannya yang dikatakan memungkiri janji itu.

     Persoalannya adakah Faiz melakukan kesalahan yang terlalu besar sehingga tidak boleh dimaafkan? Jika kita berada dalam situasi tersebut, adakah kita akan bertindak memboikot majlis tersebut hanya kerana kita tidak dibenarkan berucap dalam bahasa Melayu, walhal pada masa yang sama sudah menghadiahkan sesuatu yang berharga dengan mengharumkan nama negara? Para pemimpin kita sendiri pun tidak berpeluang berucap dalam bahasa Melayu pada perhimpunan bertaraf dunia, umpamanya di PBB, mengapakah ada pihak yang terlalu terkesan dengan tindakan Faiz? Faiz sudah menyatakan alasannya, dan kini terpulanglah kepada pengkritik sama ada untuk melihat hal yang berkenaan dari sudut positif atau sebaliknya.

      * * *

Tinggalkan kisah Faiz buat seketika. Jika kemelut bahasa yang berlaku di tanah air sendiri masih belum berkesudahan, adalah lebih baik kita tidak melihat perkara yang berlaku di luar kawalan. Tegasnya, usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP), dan pada masa yang sama masyarakat disarankan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sememangnya dialu-alukan. Usaha untuk menguasai pelbagai bahasa asing yang dapat membantu meningkatkan kemajuan bangsa merupakan satu usaha yang wajar dan digalakkan.

      Bahasa ibunda bukan penghalang kepada kemajuan sesebuah negara. Akibat kurang peka dengan situasi sekeliling, kita membiarkan pelbagai bahasa dan tulisan asing menguasai papan tanda di premis perniagaan warga asing. Jika adapun tulisan bahasa Melayu pada papan tanda tersebut, tulisannya bukan sahaja bersaiz kecil, bahkan turut menggunakan slanga. Tulisan kecil yang sukar dilihat itu seolah-olah berfungsi sebagai “syarat” untuk mengaburi mata pihak berkuasa sahaja. Mengapakah mereka terlalu berani bertindak sedemikian? Adakah mereka berasakan bahawa negara ini terlalu bebas sehingga mereka tidak sedar bahawa mereka itu hanyalah pendatang yang ingin mencari rezeki di negara ini? Tiada langsung bibit-bibit gusar di wajah mereka, malah pada hujung minggu mereka berpesta sakan seolah-olah berada di negara sendiri !

      * * *

      Apabila difikirkan kembali dan melihat dari sudut yang berbeza, peniaga warga asing ini mempunyai semangat cinta akan bahasa ibunda mereka sendiri. Hal yang berkenaan amat dialu-alukan pada setiap warganegara, namun mereka perlu sedar dan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan di dalam sesebuah negara.

     Jika bangsa lain boleh maju dengan bahasa ibundanya sendiri, mengapa pula kita tidak boleh? Dalam konteks ini, pihak tertentu yang memfokuskan penggunaan bahasa asing atau bahasa Inggeris sehingga menafikan keistimewaan yang ada pada bahasa kebangsaan merupakan tindakan yang kurang bijak. Bahasa Melayu yang begitu kaya dengan nilai korpus ilmu perlu didaulatkan, bukannya dengan bertindak sesuka hati meletakkan nama gedung perniagaan, taman perumahan, nama jalan dan lain-lain dengan nama ala Inggeris.

      Perlu diingatkan bahawa apabila masyarakat meletakkan bahasa kebangsaan sama tarafnya seperti pasar, basahan atau slanga, akhirnya kelak akan hilang maruah bahasa kita di persada dunia. Pastinya kita tidak sanggup melihat bahasa yang kita banggakan ini lenyap ditelan zaman. Oleh hal yang demikian, belum terlambat untuk setiap warganegara di bumi bertuah ini meletakkan bahasa kebangsaan di tempat yang sewajarnya. Mungkin kedengarannya agak skeptikal, namun tidak mustahil untuk kita sama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan sekurang-kurangnya mampu bergema di pentas PBB. Lalu ketika itu, bolehlah kita “mempersendakan” tindakan Faiz kerana pada saat itu kita sudah boleh berbangga dengan bahasa kita!

Abd. Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *