Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan Kita

      No Comments on Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan Kita

Oleh Noriffah Hidayati Ibrahim

      “Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu”

       Petikan di atas merupakan antara inti pati titah wasiat Raja-raja Melayu semasa menurunkan tandangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Hal tersebut menggambarkan betapa gagahnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah negara berdaulat.

       Bahasa Melayu telah telah melalui lima zaman perkembangan, iaitu dari zaman bahasa Melayu purba, Melayu kuno, Melayu klasik dan Melayu moden. Semua onak dan halangan ditempuhi untuk memastikan bahasa Melayu mampu menyesuaikan diri dan menyerap segala tekanan seiring dengan sifat bahasa itu sendiri yang mudah lentur mengikut situasi sekeliling menjadikan bahasa Melayu terus kekal relevan sehingga kini.

      Penghujung tahun 1957 menyaksikan satu kebanggaan dan pencapaian tertinggi untuk bahasa Melayu apabila dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang ketika itu baru sahaja mencapai kemerdekaan. Pengisytiharan tersebut merupakan satu pengiktirafan tertinggi dalam konteks memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di bumi berbilang bangsa ini. Hal ini diterjemahkan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Bertitik tolak daripada itu, mulai 1 September 1967, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi seperti diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

      Sejajar dengan itu, dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011, Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam menggariskan penggunaan bahasa Melayu dalam sebarang urusan rasmi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Mahkamah di Semenanjung Malaysia juga telah mengeluarkan arahan dan pekeliling dalaman tentang penggunaan bahasa Melayu di mahkamah seperti Pekeliling Ketua Pendaftar Bil.2 tahun 1999. “Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah tidak boleh dipermudahkan dan diambil ringan. Perlembagaan Persekutuan (‘Perlembagaan’) menetapkan bahasa kebangsaan negara ialah bahasa Melayu (Perkara 152). Dengan peruntukan undang-undang di atas, maka keraguan atas penggunaan bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah tidak boleh dipersoalkan lagi”. Dengan kata lain, penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah tidak boleh dipertikaikan.

     Pada masa yang sama, bahasa kebangsaan merupakan bahasa ilmu. Persis mutiara kata, “hilang bahasa, maka lenyaplah bangsa”. Penyata Razak 1956 menyatakan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dengan menjadi alat utama perpaduan antara kaum. Bahasa Melayu menjadi kebanggaan warganegara apabila bukan sahaja diajar pada peringkat universiti tempatan bahkan di seluruh dunia seperti di Korea, China dan beberapa negara yang lain. Prof. Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa bahasa Melayu sememangnya boleh dijadikan bahasa ilmu apabila bahasa kebangsaan ini telah dijadikan sebagai bahasa penyelidikan dan sudah dibukukan. Selain itu, terdapat lebih kurang 600, 000 entri istilah dihasilkan dalam korpus peristilahan bahasa Melayu. Istilah-istilah ini merangkumi semua bidang ilmu yang meluaskan lagi penguasaan dan kekayaan bahasa kebangsaan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *