Pergerakan Watak Utama dalam Novel Bimasakti Menari

Oleh Samat Buang

     Salah satu aspek sastera yang sangat menarik untuk dikaji dalam genre novel termasuklah aspek watak dan perwatakan. Hal ini dikatakan demikian kerana watak berfungsi untuk menggerakkan dan mengembangkan jalan cerita tidak kira sama ada watak itu terdiri daripada manusia mahupun haiwan yang diberikan sifat manusia. Watak ialah pelaku yang memainkan peranan dalam sesebuah cerita yang disampaikan oleh pengarang. Dengan kata lain, watak dan perwatakan merupakan salah satu daripada unsur yang harus ditangani dengan bijaksana dan keterampilan pengarangnya.

     Setiap pengarang haruslah memberi perhatian yang teliti dalam memilih watak, mencipta watak dan perwatakan, di samping mengolahnya secara berkesan sepanjang cerita yang ingin disampaikan oleh pengarang sesuai dengan peranan dan persoalan yang digarap. Fokus perbincangan dalam makalah kali ini tertumpu pada pergerakan watak utama, Nurul Hafsa dalam novel Bimasakti Menari, karya Sri Rahayu Mohd. Yusop, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Novel ini dikaji oleh murid-murid tingkatan 5 bagi zon pertama yang terdiri daripada negeri-negeri Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

     Secara ringkasnya watak merupakan ciptaan pengarangnya sahaja dan watak dalam sesebuah cereka sering dikaitkan dengan manusia. Manusialah sebagai pelaku atau penggerak utama dalam cerita yang disuguhkan oleh pengarang. Namun begitu, ada juga pengarang yang menampilkan binatang, tumbuh-tumbuhan, makhluk asing, bunga, dan objek tertentu yang dipersonifikasikan atau dimanusiakan.

     Dalam konteks ini, kita pasti teringat pada cerita dalam novel Perlumbaan Kedua oleh Marwilis Yusof yang mengemukakan watak binatang seperti kura-kura, arnab, kancil, harimau, dan haiwan lain yang dapat berkatakata, berfikir, dan bertindak seperti manusia. Cereka yang mengambil watak-watak binatang, bunga, tumbuh-tumbuhan,, dan sebagainya lazimnya merupakan karya atau cerita simbolik yang mempunyai sindiran dan kritikan terhadap pelbagai ragam kehidupan manusia baik dalam bidang sosial, ekonomi, politik, mahupun budaya.

     Pada keseluruhannya, terdapat dua jenis watak, iaitu watak utama dan watak sampingan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap watak yang ditampilkan oleh pengarang dalam novel mereka semestinya ada fungsi dan dapat dibezakan. Oleh itu, watak utama merupakan watak yang penting dalam sesebuah novel, manakala watak sampingan pula berperanan sebagai pelengkap yang berjaya memberikan gambaran tentang watak utama. Watak sampingan ialah watak-watak yang membantu watak utama dan ditampilkan oleh pengarang dalam cerita untuk menyokong tindak-tanduk watak utama sebagai contoh, kerana salah satu naluri semula jadi manusia adalah ingin hidup berkelompok. Mereka tidak boleh hidup secara bersendirian, membawa diri masing-masing, dan mementingkan diri semata-mata tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. Lazimnya, watak utama tidak dapat mengelak daripada bergaul dengan mana-mana watak sampingan yang digambarkan oleh pengarang. Watak-watak ini kadangkala bergerak seiring dengan watak utama dalam cerita. Pendek kata, watak-watak sampingan bertindak sebagai pelengkap, memperkuat, atau menyokong watak utama yang terdapat dalam cerita tersebut.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *