Modul Bimbingan Rakan Sebaya

      No Comments on Modul Bimbingan Rakan Sebaya

Oleh Nabihah Yusof

      Modul bimbingan rakan sebaya dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa merupakan
latihan khusus untuk meningkatkan penguasaan berbahasa dalam kalangan pelajar. Modul ini dilaksanakan oleh pelajar melalui bimbingan rakan sebaya yang dipilih oleh guru. Rakan sebaya yang memberikan bimbingan (tutor) dipilih sendiri oleh guru berdasarkan kriteria-kriteria yang tertentu. Sebaliknya, guru bertindak sebagai pemudah cara dan memerhatikan sesi pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas. Panduan dan arahan kepada pelajar disediakan bersama-sama modul tersebut. Secara ringkasnya, modul tersebut disediakan untuk membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa melalui kaedah pembelajaran sedemikian.

      Dalam modul bimbingan tidak wujud semangat persaingan tetapi keinginan untuk berkongsi kejayaan dan pengetahuan yang sama adalah tinggi. Begitu juga dengan sistem ini yang menggalakkan proses pembelajaran bersama-sama (pembelajaran koperatif) yang mempunyai ciri-ciri lisan dan komunikasi yang tinggi. Interaksi fizikal juga tinggi kerana rakan sebaya ada bersama-sama menjalankan sesuatu aktiviti. Oleh itu, pembelajaran koperatif membuka peluang untuk bekerjasama dan berinteraksi sesama rakan sebaya berbanding dengan pembelajaran tradisional. Kesan daripada pembelajaran ini menyebabkan pelajar dapat menerima maklum balas untuk memudahkan kefahaman mereka semasa pembelajaran berlaku.

      Modul bimbingan rakan sebaya perlu disediakan oleh guru untuk memastikan pelajar melakukan pembelajaran secara terancang tanpa arahan dan bimbingan guru. Kaedah ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran dan keprofesionalan guru untuk mempelbagaikan gaya pembelajaran di dalam kelas terutamanya dalam aspek pengajaran bahasa. Guru lebih memahami keperluan pembelajaran pelajar yang berbeza dari segi tahap pembelajaran dan latar belakang. Latar belakang pembimbing haruslah yang lebih bijak dalam mata pelajaran tertentu supaya menjadi pembimbing kepada pelajar lemah, lebih muda atau sebaya.

      Penggunaan modul bimbingan rakan sebaya memudahkan guru membuat kawalan kelas. Setiap pelajar akan berinteraksi dan berkomunikasi dengan pembimbing yang bertanggungjawab memberikan tunjuk ajar kepada mereka bagi menyelesaikan tugasan dalam kumpulan masing-masing.

      Proses bimbingan meninggalkan kesan yang positif terhadap pembelajaran pelajar, begitu juga dapat meneguhkan pembelajaran pembimbing dalam mata pelajaran atau aspek yang dibimbing. Sifat pembimbing dan pelajar juga mempengaruhi kesan pembelajaran kedua-dua belah pihak pembimbing dan pelajar, contohnya kesediaan menerima pembimbing atau pelajar, sifat keterbukaan, berkomunikasi dengan berkesan dan mengambil berat mempengaruhi proses bimbingan. Jika kedua-dua belah pihak pembimbing dan pelajar yang dibimbing mempunyai sifat positif, maka proses bimbingan berjalan dengan lebih lancar.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *