Partikel “-kah, -lah dan -tah” dalam Bahasa Melayu

Oleh Chai Loon Guan

      Sebagai guru Bahasa Melayu, kita sering ditanya oleh murid-murid tentang hal ehwal tatabahasa bahasa Melayu. Antara perkara yang biasa ditimbulkan oleh murid-murid sama ada murid di sekolah rendah atau murid di sekolah menengah termasuklah penggunaan akhiran atau partikel -kah, -lah dan -tah.

      Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Menengah Jilid 2 (2016), kata penegas ialah kata prafrasa dan kata pascafrasa. Terdapat dua jenis kata penegas dalam bahasa Melayu, iaitu:

a. Yang menegaskan hanya frasa predikat dan bahagian-bahagiannya, iaitu -kah, -lah dan -tah.

b. Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa subjek atau bahagiannya, dan frasa-frasa predikat atau bahagian-bahagiannya, yakni juga, pun, memang, hanya, jua, sahaja, lagi dan cuma.

Contoh penggunaan kata penegas dalam ayat:

  1. Belum kering lagi baju sekolah adik untuk dipakai.
  2. Bilakah majlis perkahwinan Mutu akan diadakan?
  3. Apatah daya kami yang tidak mempunyai wang yang banyak!
  4. Itulah kedai yang menjual alat-alat tulis dengan harga yang murah.
  5. Ahmad juga menyokong cadangan ketua darjah kami.
  6. Murid itu sahaja dari Sabah.
  7. Memang tepat jawapan yang diberikan oleh Ah Seng.
  8. Ibunya pun ke pekan tadi.

Menurut buku, Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu (2007), bentuk-bentuk kecil seperti -kah, -lah dan -tah dikenal sebagai partikel. Oleh sebab dalam tulisan dicantumkan pada akhir kata, maka -kah, -lah dan -tah boleh dikatakan akhiran juga. Bentuk-bentuk -kah dan -tah merupakan partikel penegas untuk mementingkan predikat dalam ayat-ayat tanya.

Sebagai contohnya:

9(a) Apakah / itu?

9(b) Apatah / dayaku?

9(c) Siapatah gerangan / gadis itu?

Bentuk “-lah” pula merupakan partikel penegas untuk mementingkan predikat dalam:

10(a) ayat penyata songsang

Contohnya:

i. Beliaulah / pensyarah saya.

ii. Itulah / yang saya maksudkan.

10(b) ayat perintah aktif

Contohnya:

i. Pergilah ke sana.

ii. Bersiar-siarlah di sekeliling pekan itu.

10(c) ayat perintah pasif

Contohnya:

i. Bacalah / novel itu.

ii. Pungutlah / sampah itu.

Oleh sebab dipentingkan dengan partikel penegas -lah, maka predikat didahulukan seperti yang ternyata dalam ayat-ayat contoh 10(a), dan 10(b) di atas. Dalam contoh 10(b), subjeknya dilenyapkan sama sekali kerana predikatnya lebih dipentingkan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *