Kelewahan Frasa

      No Comments on Kelewahan Frasa

Oleh Ridzuan Kamis

     Lewah atau kelewahan dalam bahasa merujuk satu penggunaan atau pemakaian frasa yang dianggap berlebihan atau sengaja dilebih-lebihkan. Menurut Kamus Dewan mengenai lewah pula ialah perihal berlebih-lebih sehingga tertambah perkara atau hal yang tidak perlu sama sekali dalam ayat. Frasa pula ialah pernyataan yang mengandungi mungkin satu, dua perkataan atau lebih sebelum menjadi ayat majmuk yang lengkap atau gramatis.

     Frasa juga dapat dimaknakan sebagai kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. Kelewahan frasa merujuk kebiasaan penggunaan bahasa yang didapati berlebihan sama ada berfungsi sebagai penegas atau pengukuh frasa. Ada juga kelewahan frasa yang menyimpang daripada hukum tatabahasa bahasa Melayu standard.

     Penutur bahasa Melayu acapkali terkeliru, malah tersilap kerana menganggap frasa yang digunakan baik dalam pertuturan mahupun penulisan difikirkan betul tetapi sebaliknya. Berkemungkinan besar, kelewahan dan penyimpangan tatabahasa tidak disedari kerana penggunaannya dilihat sudah sebati dalam konteks pemakaian oleh masyarakat sejak dahulu lagi. Situasi ini menyebabkan, penutur jati baharu malah penutur bukan jati bahasa Melayu terus menerima bulat-bulat frasa lewah tersebut sehingga digunakan secara wewenang.

     Berikut disenaraikan beberapa frasa yang dianggap lewah dalam bahasa Melayu.

Bilangan

Kelewahan Frasa

Tidak lewah

Huraian

1. berjalan kaki berjalan  

Penggunaan perkataan berjalan tidak harus disusuli dengan perkataan kaki kerana berjalan sudah bermaksud menggunakan kaki.
2. kawad kaki kawad  

Kawad ialah aktiviti yang menggunakan kaki. Istilah kawad sudah boleh berdiri sendiri untuk menggambarkan perbuatan tersebut. Tidak ada kawad lain selain daripada kaki.
3. naik ke atas naik  

Tidak ada naik ke bawah. Istilah naik sudah mantap untuk menunjukkan maksud ke atas. Naik dan ke atas mewakili makna yang sama.
4. turun ke bawah turun  

Turun tidak pernah ke atas. Semua makna turun pasti akan ke bawah. Maksud turun dan ke bawah juga merujuk makna

seakan-akan sama.

5. hujan turun hujan  

Hujan tidak pernah naik. Hujan pasti akan turun. Penggunaan istilah hujan sudah jelas menggambarkan hujan yang turun.
6. melambung naik melambung  

Perkataan melambung sudah mewakili situasi naik ke udara. Istilah melambung cukup jelas memaknakan keadaan sesuatu itu naik.
7. menjunam jatuh menjunam  

Menjunam sudah pasti akan jatuh. Tidak ada menjunam akan naik. Perkataan menjunam sudah jelas sesuatu benda atau hal itu akan jatuh atau ke bawah.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *