Budi Bahasa Asas Kesejahteraan Rakyat

      No Comments on Budi Bahasa Asas Kesejahteraan Rakyat

Oleh Khairol Anuar Harith Fadzillah

      “Kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan
akan muncul, jika menjadi satu bangsa yang
berpekerti mulia, berbudi tinggi dan berbahasa
baik. Pembangunan modal insan penting kepada
negara pada masa depan dan mereka mestilah
berkualiti, tetapi juga dari segi nilai moral yang
tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan
nilai-nilai murni dalam kehidupan.”
(Abd. Aziz bin Hj. Mohd Noor, 2011: 4)

     Demikianlah pengenalan tentang amalan budi bahasa dan amalan budaya murni sebagai asas kesejahteraan rakyat di Malaysia berdasarkan petikan dalam seruan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 11 Januari 2005.

     Kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” merupakan agenda lima tahun kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa dan “Rakyat Kelas Pertama” yang jelas menggambarkan kebimbangan kerajaan terhadap kehilangan nilai budi bahasa dalam perkembangan bahasa Melayu. Oleh itu, kepentingan pelaksanaan kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” dapat mengukuhkan amalan budi bahasa, dan amalan budaya murni sebagai asas kesejahteraan rakyat Malaysia.

     Konsep budi bahasa dalam Kamus Dewan Edisi Keempat menggambarkan tingkah laku dan pertuturan yang melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa dalam sebuah bangsa bertamadun. Selain itu, budi bahasa melambangkan tutur kata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan dalam akhlak mulia. Setiap gerak laku, tutur kata, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai pergaulan dalam konsep budi bahasa seiring dengan nilai-nilai budi bahasa seperti mulia, adil, hormat, bijaksana, berani, setia, malu, sabar, sopan dan lain-lain (Abd. Aziz bin Hj. Mohd Noor, 2011: 5)

     Konsep kebudayaan berasal daripada istilah buddhayah dalam bahasa Sanskrit yang berasal daripada perkataan buddhi yang bermaksud budi dan akal. Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia yang mementingkan usaha pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun bagi mencerminkan identiti sesebuah negara. Konsep budaya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud tamadun dan peradaban, kemajuan fikiran dan akal budi, iaitu cara berfikir dan berkelakuan dan sebagainya. Kemajuan bahasa Melayu dalam tamadun Melayu mempamerkan akal budi bangsa Melayu menerusi amalan budi bahasa dan budaya murni sebagai asas kesejahteraan rakyat di Malaysia.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *