Majlis Penganugerahan Tokoh Pejuang Bahasa

      No Comments on Majlis Penganugerahan Tokoh Pejuang Bahasa

Oleh Siti Nur Hidayah Othman Bakar

Kuala Lumpur – Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) telah menganjurkan Majlis Penganugerahan Tokoh Pejuang Bahasa dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 30 November 2016 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP.

     Majlis ini merupakan sarana pejuang bahasa dalam melestarikan perkembangan bahasa dan linguistik Melayu, selain mengetengahkan tokoh bahasa dan persuratan Melayu dalam menyampaikan pemikiran dan gagasan melalui disiplin ilmu yang ditekuni.

     Pengorbanan dan kesungguhan mereka mendepani pelbagai cabaran untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di negara ini diiktiraf dengan penganugerahan Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa PLM 2016.

      Pihak penganjur memilih empat tokoh untuk menerima anugerah tersebut, iaitu bekas Ketua Pengarah DBP, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan dan Datuk A. Aziz Deraman; ahli akademik dan penyelidik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron, serta mantan Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) di Jabatan Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar dan Datuk Aznil Haji
Nawawi, pengacara nombor satu negara turut menerima Anugerah Khas Ikon Bahasa.

     Penganugerahan ini diberikan kepada individu yang tekun dalam tekad memperjuangkan maruah dan martabat bahasa Melayu selama puluhan tahun di negara ini seperti Datuk Dr. Awang Sariyan, Datuk A. Aziz Deraman dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron antara tokoh yang lantang menyuarakan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Manakala Datuk Aznil Haji Nawawi aktif membantu dalam mempromosikan bahasa Melayu kepada masyarakat di negara ini.

Berita ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *