Soal Jawab Bahasa Januari

      No Comments on Soal Jawab Bahasa Januari

Oleh Abdul Ghalib Yunus

Ayat yang tidak lengkap

Soalan:

Ayat yang berikut selalu dikemukakan oleh murid dalam penulisan karangan:
1. Satu daripada langkah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk adalah dengan mengadakan
gotong-royong.
Ada sebilangan murid pula menulis ayat tersebut seperti yang berikut:
2. Satu daripada langkah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk ialah mengadakan gotong-royong.
Adakah kedua-dua ayat di atas gramatis?

Daripada:
Rusli Mahat, Sabak Bernam.

Jawapan:
Kedua-dua ayat di atas tidak gramatis kerana tidak lengkap atau cacat. Punca kesilapan ini berlaku kerana murid tidak mengetahui fungsi klausa sebagai predikat.
Ayat tersebut cacat kerana ketiadaan ‘siapa’ atau ‘pihak’ yang perlu mengambil tindakan. Dari segi penggunaan kata pemeri pula, ayat tersebut tidak gramatis.
Ayat yang betul ialah:
Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan semangat kejiranan ialah persatuan penduduk setempat perlu mengadakan aktiviti gotong-royong.
Dalam penulisan karangan, murid mestilah menyatakan sesuatu pihak tersebut dengan jelasnya. Penulisan isi yang dikemukakan tadi bukan sahaja tidak jelas tetapi salah tatabahasanya.
Oleh hal yang demikian, guru BM perlulah memainkan peranan penting untuk memastikan murid mereka supaya menguasai kata, frasa, klausa dan ayat.

Kata adverba atau kata adjektif

Soalan:
Tuan, ada pengguna bahasa Melayu yang berpendapat bahawa kata ‘gigih’ dalam ayat di bawah ialah kata adverba. Oleh hal yang demikian mereka menganggap bahawa pola ayat tersebut ialah FN + FK, bukan FN + FA. Apakah pendapat tuan tentang hal ini?
1. Kerajaan gigih membanteras kegiatan rasuah dalam kalangan kakitangannya.
Daripada:
Roslina Ahmad,
Petaling Jaya
Jawapan:
Kalau kita tidak menguasai kata, masalah yang timbul ialah kita tidak dapat menentukan pola ayat atau kegramatisan ayat.
Dalam ayat tersebut, perkataan ‘gigih’ ialah kata adjektif, bukan kata adverba. Dalam hal ini, kita perlu mengetahui fungsi kata adverba dalam ayat.
Dalam ayat, kata adverba berfungsi sebagai perkataan yang menerangkan perkataan lain. Selain itu, kata adverba tidak boleh berdiri sendiri sebagai subjek atau predikat dalam ayat. Jika kata adverba digugurkan dalam ayat, ayat tersebut masih gramatis.
Marilah kita analisis ayat yang dikemukakan. Ayat tersebut sebenarnya mempunyai dua klausa, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas.

Soal jawab ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *