Gugus Konsonan dan Digraf

      No Comments on Gugus Konsonan dan Digraf

Oleh Mohd Januri Aiyub

       Suku kata dibentuk melalui bunyi vokal atau gabungan bunyi vokal dengan bunyi konsonan. Bunyi-bunyi vokal dan konsonan dilambangkan dalam bentuk huruf. Dalam suku kata yang mengandungi bunyi konsonan, ada huruf konsonan yang hadir secara bergandingan, berurutan, bergabung atau berderetan. Umumnya, pengguna bahasa menamakan deretan huruf konsonan ini sebagai konsonan berganding, konsonan bergabung, gugus konsonan atau digraf. Apa-apa pun nama yang diberi, deretan huruf konsonan ini dapat dikelompokkan kepada dua kategori, iaitu gugus konsonan dan digraf.

     Ada pengguna bahasa yang menyangka bahawa gugus konsonan dan digraf ialah dua konsep yang sama. Digraf ialah gugus konsonan dan sebaliknya gugus konsonan ialah digraf. Hakikatnya, gugus konsonan dan digraf ialah dua perkara yang berbeza walaupun secara tersuratnya nampak hampir sama, iaitu deretan dua huruf konsonan dalam satu suku kata. Perbezaan antara gugus konsonan dengan digraf dapat dilihat dari segi konsep, contoh perkataan dan cara perkataan tersebut dilafazkan.

     Gugus konsonan ialah deretan dua atau lebih huruf konsonan dalam satu suku kata dan setiap huruf itu boleh berdiri sendiri sebagai lambang satu bunyi konsonan. Hal ini bermakna, jika dalam perkataan itu ada tiga deretan huruf konsonan dalam satu suku kata, setiap huruf konsonan itu hendaklah dilafazkan. Tiada satu bunyi konsonan pun yang dilenyapkan. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang mempunyai gugus konsonan lazimnya terdiri daripada kata pinjaman khususnya daripada bahasa Inggeris. Tatabahasa Dewan menyimpulkan bahawa gugus konsonan sebagai satu gejala baharu dalam bahasa Melayu akibat proses pengambilan perkataan daripada bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris.

      Gugus konsonan boleh hadir di awal, di tengah atau di akhir perkataan. Ada dua kategori gugus konsonan dalam bahasa Melayu, iaitu yang terdiri daripada deretan dua huruf konsonan dan deretan tiga huruf konsonan. Dalam kategori gugus konsonan yang mengandungi deretan dua huruf konsonan, ada yang berpotensi untuk hadir di awal dan di tengah perkataan seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1.

Jadual 1 Deretan dua huruf konsonan di awal dan di  tengah perkataan.

 

 Gugus konsonan

 

 Perkataan

bl

blok, blaus, blazer

br

brek, briged, broker

dr

draf, drama, drastik, skuadron

fl

flamingo, flannel, fleksibel, flora

fr

fragmen, frekuensi

gl

glottis, glamor, gliserin, glosari

gr

gred, gril, gramatis, graviti, fotografi

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *