Modul Pembelajaran Kendiri Memaknakan Peribahasa

Oleh Md Ishak A. Rahman

      Peribahasa merupakan salah satu aspek bahasa yang seharusnya diajarkan secara persis mengikut situasi dan penghayatan. Dalam perancangan membina modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) khususnya modul pembelajaran kendiri (MPK), guru boleh menjadikan aspek peribahasa sebagai objektif utama dan aspek estetika seperti nilai dan pengajaran sebagai objektif sampingan.

      MPK memberikan ruang kepada pelajar aktif melakukan pembelajaran. Jika dilaksanakan secara kumpulan, aktiviti ini tidak seharusnya melebihi dua orang. Mereka boleh berbincang dan bekerjasama untuk melaksanakan pembelajaran daripada modul. Jika kumpulan besar, kemungkinan ada pelajar yang menjadi penumpang dan tidak melibatkan diri dalam aktiviti secara aktif. Kemungkinan juga kumpulan itu akan membahagi-bahagikan tugas setiap ahli menjawab soalan berasingan dan berlainan. Hal ini bermakna setiap pelajar tidak lengkap melakukan aktiviti pembelajaran yang dirancang.

     Melalui MPK, setiap pelajar akan melaksanakan pembelajaran mengikut arahan dan boleh melakukannya pada bila-bila masa. Tempoh masa menyelesaikan tugasan yang luwes memberikan peluang kepada pelajar untuk meneliti setiap persoalan. Guru bertindak sebagai pemudah cara, rakan yang cerdas boleh membantu yang lain, dan ibu bapa juga boleh membantu sekiranya tugasan itu diselesaikan di rumah.

      Aktiviti MPK merupakan aktiviti pengayaan untuk menambah pengetahuan, maklumat dan kemahiran pelajar. Bermakna, pelajar sudah mempunyai pengetahuan sedia ada dan bersedia untuk melakukan aktiviti sendiri.

      Guru pula akan dapat mengumpulkan hasil tugasan pelajar yang lebih banyak jika dilaksanakan oleh individu atau kumpulan kecil. Guru boleh memilih hasil tugasan yang terbaik untuk dijilid dan dipamerkan di bilik darjah sebagai rujukan pelajar yang lain.

     Kebiasaan guru memilih aspek peribahasa untuk latihan peperiksaan dengan menyenaraikan beberapa peribahasa untuk dibincangkan. Latihan seperti ini seharusnya diikuti dengan cara untuk mendapatkan makna peribahasa tersebut. Cara tersebut memberikan peribahasa pada masa akan datang.

     Guru boleh mempelbagaikan bentuk latihan sesuai dengan pencapaian pelajar. Latihan seperti memadankan peribahasa dengan  makna peribahasa, mengisi tempat kosong dalam ayat dengan peribahasa, dan sebagainya. Dalam hal ini, perancangan guru menyediakan MPK seharusnya mempunyai matlamat dan objektif yang jelas.

     Matlamat guru adalah untuk memberitahu konsep peribahasa sebagai ungkapan perbandingan yang biasa diterima pakai, telah membudaya dalam masyarakat, dan telah dimaklumi maksudnya oleh masyarakat umum. Terdapat juga ungkapan menarik yang berpotensi menjadi peribahasa seperti ungkapan sara hidup dan pertanian sebagai satu perniagaan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *