Pengenalan DSKP Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan

      No Comments on Pengenalan DSKP Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan

Oleh Ezwafahmey Ahmad Kusaini

        Sejajar dengan transformasi kurikulum sekolah rendah yang mula digunakan sejak tahun 2011, kurikulum Bahasa Melayu sekolah menengah telah pun digubal semula untuk menambah baik aspek pembelajaran murid supaya lebih menyeronokkan dan berkesan. Kurikulum baharu yang akan diperkenalkan ini berasaskan pernyataan standard, iaitu Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi. Ketiga-tiga pernyataan standard ini dikenali sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu. Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi ini merangkumi aspek yang berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang mesti dikuasai dan dipelajari oleh pelajar di sekolah menengah bermula pada tahun 2017.

       Pendekatan berbentuk modul dan pembelajaran didik hibur digunakan dalam DSKP Bahasa Melayu yang bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi murid dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, menilai keupayaan serta memperkembangkan lagi penguasaan kemahiran berbahasa dengan menekankan aspek keterampilan dan kecekapan berbahasa. Didik hibur boleh didefinisikan sebagai aktiviti mendidik dengan cara yang menyeronokkan dan menyenangkan hati murid-murid. Secara asasnya didik hibur merupakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang santai tanpa rasa tertekan oleh guru mahupun murid-murid apabila mereka bebas untuk berekspresi dalam konteks PdP Bahasa Melayu yang meliputi unsur estetika,nyanyian, lakonan dan permainan.

       Matlamat utama dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu ini adalah untuk melengkapkan murid-murid dengan keterampilan berbahasa dan mampu berkomunikasi dengan berkesan untuk memperoleh ilmu pengetahuan, nilai, idea serta memenuhi keperluan diri dalam kehidupan sosial. Terdapat enam tunjang yang menjadi asas kepada pembaharuan dalam KSSM Bahasa Melayu,

  1. Komunikasi.
  2. Kerohanian, sikap dan nilai.
  3. Kemanusiaan.
  4. Keterampilan diri.
  5. Perkembangan fizikal dan estetika.
  6. Sains dan teknologi.

       Keenam-enam tunjang tersebut menjadi domain utama yang dapat menyokong antara satu sama lain dan digabung jalin dengan unsur pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kesepaduan ini mempunyai matlamat utama yang jelas, iaitu untuk membangunkan kapasiti modal insan yang dapat menghayati nilai-nilai murni berteraskan keagamaan, berpengetahuan, berketerampilan, dan berfikiran kritis dan kreatif serta inovatif. Fokus dan hasrat KSSM bagi mata pelajaran Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan murid-murid yang mampu menguasai kemahiran abad ke021 yang menekankan aspek Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) serta kemahiran hidup dan kerjaya yang berteraskan nilai-nilai murni.

Jadual 1 Profil murid berasaskan Standard Kandungan dan Standard Prestasi Bahasa Melayu sekolah menengah.

Bil.

Ciri-ciri

Penerangan

1. Berdaya tahan Murid-murid mampu menghadapi dan mengatasi kesukaran, mengatasi cabaran dengan bijak, berkeyakinan, bertoleransi dan bersifat empati.
2. Mahir berkomunikasi Murid-murid dapat menyuarakan dan meluahkan fikiran, idea dan maklumat dengan yakin secara lisan dan bertulis, serta menggunakan pelbagai media dan teknologi dengan berkesan.
3. Pemikir Murid-murid berfikir secara kritikal, kreatif dan inovatif, mampu untuk menangani masalah yang kompleks dan membuat keputusan yang beretika.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *