Rombakan Kurikulum Jangan Kita Skeptikal

      No Comments on Rombakan Kurikulum Jangan Kita Skeptikal

Oleh Alias Ismail

       Beberapa perkara yang berlaku dalam dunia pendidikan negara mutakhir ini dilihat menjadi bahan perbualan pelbagai lapisan masyarakat terutamanya pada saat musim beralih, iaitu ketika berlabuhnya tirai 2016 dan tersingkapnya tabir 2017. Pada umumnya, terdapat dua isu besar yang membadai pemikiran masyarakat bagi warganegara yang peka akan arah perjalanan dan maruah pendidikan negara. Salah satu daripada isu berkenaan ialah perkara yang berkaitan dengan peperiksaan awam yang popular di negara ini. Satu lagi isu yang dimaksudkan itu ialah perkara yang berkaitan secara langsung dengan rombakan atau penambahbaikan kurikulum, yang melibatkan pelajar sekolah menengah, bermula dengan pelajar tingkatan satu.

      Yang paling mengejutkan masyarakat tentulah pencapaian murid seluruh negara dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016. Perkara itu diikuti dengan penuh minat oleh masyarakat, lebih-lebih lagi golongan ibu bapa murid memandangkan hakikat bahawa pada 2016, UPSR tidak lagi dinilai berdasarkan lima mata pelajaran sebagaimana lazim, sebaliknya bertambah satu menjadi enam; malahan peperiksaan berkenaan menggunakan pentaksiran berasaskan format baharu dalam keenam-enam mata pelajaran tersebut!

      Perubahan format pentaksiran serta penambahan satu mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris Penulisan, diharapkan oleh kalangan ibu bapa dan penjaga tidak akan menjejaskan pencapaian murid. Malangnya, apabila keputusan peperiksaan tersebut diumumkan pada 17 November 2016, berlaku perkara yang sebaliknya apabila hanya 4896 calon atau 1.1% daripada 452 721 calon UPSR termasuklah 9044 calon dari sekolah swasta seluruh negara memperoleh semua 6A.

      Pelbagai pihak mula membuat perbandingan dengan keputusan tahun sebelumnya yang menyaksikan 38 344 calon atau 8.4% daripada 455 929 calon UPSR seluruh negara memperoleh semua 5A dalam peperiksaan tersebut. Mereka melihat angka-angka tersebut dengan perasaan yang cemas dan keliru kerana jurang pencapaiannya sangat jauh jika dibandingkan dengan pencapaian UPSR 2014 yang memperlihatkan sejumlah 36,304 calon atau 7.7% daripada 472,853 calon memperoleh semua A pada peperiksaan berkenaan. Penurunan besar yang dialami itu turut merangkumi aspek gred purata sekolah dan peratusan lulus pada peringkat yang minimum bagi semua mata pelajaran. Pada masa yang sama, didapati bahawa beberapa negeri yang selama ini mendominasi UPSR pula mengalami penurunan.

     Walau bagaimanapun kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berulang kali meminta perbandingan yang sedemikian itu tidak dilakukan oleh orang ramai kerana UPSR 2016 berlainan daripada peperiksaan yang setara dengannya pada tahun-tahun terdahulu. Masyarakat terus memperkatakan perkara itu malahan mengkritik KPM dengan anggapan bahawa KPM gagal menguruskan perubahan Pentaksiran UPSR 2016 sehingga menggambarkan situasi yang buruk kepada murid dalam konteks pemerolehan sijil akademik yang cemerlang.

     Tidak kurang hangatnya dijadikan bahan perbualan ialah perkara yang berkaitan secara langsung dengan langkah KPM menggubal dan memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Persoalan ini pantas disambar oleh setiap lapisan masyarakat sebagai bahan perbualan yang kritikal kerana dalam KSSM turut tergubal pelaksanaan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Ekoran berlakunya pembaharuan ini, terkesan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat dan sebahagian besar daripada mereka kelihatan sangat skeptikal akan laluan pendidikan, kualiti yang dicapai, dan bentuk masa hadapan murid.

      Bermula pada 2017 kurikulum Bahasa Melayu sekolah menengah yang digubal itu diperkenalkan untuk dipraktikkan oleh seseorang guru di bilik darjah sebagai suatu penambahbaikan dari segi pengajaran dan pembelajaran dengan suatu harapan, iaitu murid lebih seronok mempelajari sesuatu kandungan mata pelajaran. Dengan usaha yang sedemikian rupa hasilnya nanti akan lebih berkesan serta bermanfaat dalam jangka masa yang panjang.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *