2017 yang Lebih Mencabar

      No Comments on 2017 yang Lebih Mencabar

 

      “Bahasa mencerminkan keunggulan budaya dan jati diri kita”. Demikianlah tegas Pendeta Za’ba, seorang pejuang bahasa dan persuratan Melayu yang mendapat julukan Bapa Bahasa Melayu Moden. Bahasa merupakan cerminan bangsa dan budaya yang menjadi asas kepada masyarakat terdahulu tentang kepentingan menjaga adab, lebih-lebih lagi dalam aspek pertuturan. Dalam hal ini, budi bahasa seseorang itu akan terserlah dan mencerminkan peribadinya.

     Berdasarkan statistik pada Jun 2016, bahasa Melayu menduduki tangga ketujuh sebagai bahasa utama yang paling banyak digunakan dalam carian internet. Mahu tidak mahu, kita tidak dapat nafikan bahawa walaupun bahasa Inggeris digunakan sebagai rujukan utama, namun hal ini bukan alasan untuk mengatakan bahawa bahasa Melayu harus diketepikan. Hal ini membuktikan bahawa bukan semua pihak berminat untuk menggunakan bahasa Inggeris.

* * *

     Hasrat kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam sistem pembelajaran merupakan usaha terpuji yang bukan sahaja didahagakan oleh tokoh dan para pejuang bahasa, malah menjadi harapan seluruh masyarakat. Pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan usaha untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa asing. Namun begitu, penguasaan bahasa asing tidak seharusnya mengorbankan nilai dan kedaulatan bahasa kebangsaan itu sendiri.

     Pada masa yang sama, kerajaan turut mempergiatkan usaha supaya warga asing yang bekerja, belajar dan bermastautin di negara ini perlu mempelajari dan menghayati bahasa kebangsaan. Hal ini terbukti apabila Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) memperkenalkan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warga Asing untuk mengukur tahap penguasaan bahasa kebangsaan warga asing di negara ini. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Pengerusi MPM menjelaskan pelaksanaan ujian itu sudah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan pada 1 Julai dan dilaksanakan pada Oktober 2016 membabitkan 20 pelajar antarabangsa dari empat universiti tempatan.

* * *

     Apabila berbicara tentang anak seni, segelintir pihak mempersoalkan apakah 2017 yang Lebih Mencabar sumbangan yang dapat mereka berikan melalui bidang yang diceburi tersebut? Ada juga kata-kata berbaur sinis yang mengatakan layakkah mereka mendapat anugerah atau darjah kebesaran sementelah tiada apa-apa sumbangan yang boleh dibanggakan melainkan dengan kisah kehidupan peribadi mahupun publisiti murahan yang sengaja dicanangkan? Ada yang bersetuju, namun tidak kurang juga yang mempertikaikan hal tersebut. Walau bagaimanapun, ternyata pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Haji Nawawi membuktikan hal yang sebaliknya.

     Pada 30 November lalu, Datuk Aznil diiktiraf sebagai penerima Anugerah Khas Ikon Bahasa oleh Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi personaliti yang sentiasa mengutamakan bahasa Melayu semasa mengendalikan pelbagai rancangan kelolaannya. Beliau jelas membuktikan kepada kita bahawa tidak kira apa-apa jua bidang yang diceburi, bahasa kebangsaan wajar dipertahankan dengan sebaik-baiknya. Walaupun beliau tidak menggunakan bahasa yang agak tinggi semasa mengendalikan rancangan, namun kepentingan bahasa Melayu tetap diutamakan dan tidak sesekali berkompromi dalam soal bahasa. Walaupun pada masa yang sama beliau juga perlu berbahasa Inggeris, tetapi bahasa Melayu tetap didahulukan terlebih dahulu.

     Oleh hal yang demikian, Datuk Aznil membuktikan dirinya layak diangkat sebagai ikon, bukan bersandarkan populariti semata-mata. Dalam tempoh lebih dua dekad mencipta nama dalam industri hiburan, imej dan tatasusila terus dijaga tanpa kontroversi yang melampau. Hal ini bukan sahaja pada Datuk Aznil, malah Datuk Shiela Majid pernah meluahkan hasratnya bahawa untuk melayakkan seseorang anak seni itu terpampang wajah mereka di dada akhbar bukanlah melalui kontroversi, sebaliknya melalui bakat yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Keadaan ini membuktikan bahawa industri hiburan tidak perlukan artis yang hanya “menjaja” kisah peribadi tanpa produk yang boleh dibanggakan. Penghibur yang mendapat julukan “Ratu Jazz Negara” itu membuktikan dirinya terus berada di kelas tersendiri selama tiga dekad dan auranya masih lagi didambakan peminat setianya walaupun kelibatnya jarang kelihatan di layar kaca mahupun dalam akhbar. Jika diteliti, gelaran artis itu bukan sahaja hanya layak kepada mereka yang benar-benar berbakat, bahkan perlu menitikberatkan budi bahasa. Semoga selepas ini personaliti lain pula yang akan mendapat pengiktirafan yang selanjutnya.

* * *

      Bermula pada Januari 2017, kurikulum Bahasa Melayu akan diperkenalkan kepada pelajar sekolah menengah bermula dengan pelajar tingkatan satu. Salah satu matlamat yang perlu dicerap termasuklah dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang akan melengkapkan diri seseorang pelajar dengan aspek keterampilan berbahasa. Kaedah berkonsepkan didik hibur ini diharapkan dapat mewujudkan keseronokan dalam kalangan pelajar semasa proses PdP berlangsung.

      Ekoran daripada rombakan kurikulum yang berlaku, terdapat sesetengah pihak yang sangsi dengan perubahan tersebut. Kerisauan tersebut ada benarnya memandangkan pencapaian UPSR ada tahun 2016 kurang memberangsangkan selepas berlakunya pentaksiran berasaskan format baharu. Walau bagaimanapun, masyarakat tidak perlu khuatir dengan langkah KPM menggubal dan memperkenalkan Kurikulum Standart Sekolah menengah (KSSM) jika mereka benar-benar mendalami dan menghayati Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang bakal diperkenalkan tersebut.
Tahun 2017 sudah bermula. Semoga perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan antarabangsa akan terus subur dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Memang kedengarannya agak skeptikal, namun tiada perkara yang mustahil untuk dilakukan jika kena dengan caranya. Begitu juga halnya dengan seni politik yang memungkinkan segala-galanya. Tirai 2016 sudah kita tinggalkan. Ayuh mulakan episod baharu dalam perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan walaupun harus berhadapan dengan laluan yang berliku.

Sidang editor Pelita Bahasa mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2017 kepada pembaca setia. Terima kasih atas sokongan anda.

Abd. Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *