Tabiat Negatif dalam Peribahasa Melayu

      No Comments on Tabiat Negatif dalam Peribahasa Melayu

Oleh Mohamad Zuber Ismail

     Bercirikan rima yang indah dan mencerminkan ketajaman pemikiran dan imaginasi orang Melayu sejak dahulu kala, peribahasa Melayu telah dipraktikkan sebagai satu medium komunikasi untuk menyampaikan hasrat dan maksud tertentu. Peribahasa yang di dalamnya terkandung simpulan bahasa, bidalan, pepatah, bahasa kiasan dan perbilangan adalah satu lagi genre sastera Melayu yang unik dan istimewa. Perumpamaan Melayu yang berbunyi “biar mati anak jangan mati adat” telah mengekspresikan tatalaku yang bersopan santun dan tidak menyinggung perasaan orang lain adalah satu perkara yang sangat diambil berat dan diberi keutamaan dalam hidup bermasyarakat.

     Masyarakat Melayu bersepakat bersama-sama untuk menghalang anggota masyarakatnya mengkritik dan memperkatakan sesuatu terutamanya tentang sikap dan sifat seseorang secara berterus terang. Mereka menggunakan bahasa dengan pemilihan perkataan yang dipilih khas untuk menyatakan sesuatu yang tidak baik dengan harapan perkara atau hal-hal yang disampaikan itu walaupun bersifat negatif akan dapat diterima tanpa menimbulkan kesan emosi yang berlebihan.

     Tabiat negatif merupakan realiti dan rencah kehidupan yang tidak dapat dielakkan dalam kalangan masyarakat. Ketajaman pemerhatian dan imaginasi masyarakat Melayu tradisi telah berjaya mengekspresikan peribahasa yang menggambarkan tahap keberhutangan dalam masyarakat Melayu seperti yang tergambar dalam peribahasa “hutang keliling pinggang”. Salah satu sikap yang begitu membelenggu masyarakat Melayu sehingga ke hari ini, iaitu sikap suka berhutang. Berhutang untuk perkara-perkara yang berfaedah dalam ruang lingkup kemampuan adalah dibenarkan. Sebaliknya, sikap berhutang segelintir atau kebanyakan orang Melayu lebih kepada niat untuk menunjuk-nunjuk dan memperlihatkan kekayaan dan kehebatan kepada orang sekeliling seperti jiran tetangga atau saudara mara terdekat merupakan fenomena yang terus melekat dalam minda masyarakat. Sikap ini terus menular dalam jiwa masyarakat Melayu sehingga timbul kesinambungan ungkapan peribahasa, iaitu “lubang lama belum tertimbus, lubang baru digali pula”. Berhutang untuk menunjukkan kemampuan dan kemewahan pada masyarakat sekeliling tentunya akan mengundang ketidaktenteraman. Oleh itu, kita seharusnya berwaspada terutamanya melibatkan soal hutang. Hidup atas dasar kemampuan sudah memadai daripada ingin mendapat pandangan dan pujian masyarakat yang akhirnya menjerat dan memerangkap diri sendiri.

     Satu lagi peribahasa yang amat sinonim digambarkan dalam masyarakat dan budaya Melayu, iaitu “musuh dalam selimut” dan “gunting dalam lipatan”. Keduadua peribahasa ini dengan jelas menggambarkan tabiat negatif golongan yang begitu rapat dan dekat dengan kita. Golongan ini amat pandai berpura-pura dan merancang untuk memudaratkan dan menjatuhkan kita tanpa disedari. Perilaku ini amat berbahaya dan sering kali terjadi dalam sesuatu perhubungan yang terjalin.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *