Fungsi Pantun dalam Teks Pengacara Majlis

      No Comments on Fungsi Pantun dalam Teks Pengacara Majlis

Oleh Ezwafahmey Ahmad Kusaini

    Daun layu di tengah gurun,
Nampak jalur pohon cemara;
Tradisi Melayu turun temurun,
Pantun ditutur pembuka bicara.

      Pantun ditakrifkan sebagai puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman dahulu lagi. Pantun dicipta khas sebagai suatu medium pengucapan atau seni berbahasa untuk menyampaikan buah fikiran dan perasaan terhadap seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka dan memberikan nasihat, serta untuk bersuka-ria. Hal ini dikatakan demikian kerana pantun ini menjadi unsur hiburan kepada masyarakat Melayu yang pada waktu itu tidak mempunyai sebarang bentuk teknologi untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Pantun merupakan satu bentuk puisi tradisional yang mempunyai beberapa ciri khusus. Antaranya termasuklah:

  1. Terdiri daripada empat baris dalam satu rangkap.
  2. Mempunyai empat perkataan dalam satu baris.
  3. Mempunyai rima akhir a, b, a, b dengan beberapa variasi dan pengecualian.
  4. Setiap rangkap terbahagi kepada dua, iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud.
  5. Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan pada kebiasaannya rangkap-rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea secara berkesinambungan.

      Harun Mat Piah telah memberikan definisi pantun berdasarkan dua aspek utama, iaitu aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak. Menurut Za’aba pula, pantun ialah kaedah rangkapan yang tertua dan asalnya kepunyaan masyarakat Melayu. Sebelum orang Melayu tahu tentang urusan surat-menyurat, mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalasbalas pantun sesama sendiri dengan menggunakan unsur alam melalui pemerhatian mereka.

     Pantun sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam apa-apa jua majlis dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu dan kini. Pada zaman dahulu, pantun dituturkan oleh masyarakat Melayu pada setiap masa tidak kira di manamana sahaja. Bahasanya yang indah, lembut dan tersusun menyebabkan masyarakat gemar untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian. Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis, iaitu pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *