Bentuk Soalan Peribahasa

      No Comments on Bentuk Soalan Peribahasa

Oleh Samat Buang

     Soalan 3 (e) merupakan salah satu daripada lima soalan dalam bahagian Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa yang diuji dalam kertas Bahasa Melayu 2 peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jumlah markah yang diperuntukkan sebanyak 6 markah selain soalan yang menguji kemahiran membina ayat dalam soalan 3 (a), menguji aspek sintaksis dalam soalan 3 (b), mengenal pasti kesalahan ejaan dan kesalahan penggunaan imbuhan dalam soalan 3 (c), dan mengenal pasti kesalahan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa dalam soalan 3 (d). Setiap bahagian soalan tersebut diperuntukkan sebanyak 6 markah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 markah. Fokus perbincangan dalam makalah kali ini tertumpu pada bentuk soalan peribahasa yang lazimnya menjadi masalah kepada sebahagian besar calon SPM.

     Dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut menekankan aspek pengajaran sistem bahasa. Sistem bahasa yang dimaksudkan berfokus pada pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang terdiri daripada tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, dan peribahasa. Peribahasa pula merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, dan kata hikmat yang perlu diajarkan dalam pendidikan Bahasa Melayu. Pemilihan peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia. Penguasaan peribahasa ini merupakan lanjutan daripada penguasaan peribahasa pada peringkat sekolah rendah. Peribahasa hendaklah diajarkan dalam konteks. Buku buku peribahasa Melayu boleh dijadikan sumber rujukan.

      Dari segi kepentingan peperiksaan, soalan tentang peribahasa diuji pada peringkat SPM mulai tahun 2004 dalam soalan 3(e) berkaitan dengan aspek Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa yang diperuntukkan sebanyak 6 markah. Hal ini bermakna, sebelum itu tidak ada sebarang soalan yang khusus tentang peribahasa tetapi disampaikan secara tidak langsung dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Walau bagaimanapun dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu tidak menyenaraikan peribahasa yang harus diajarkan. Oleh itu, guru-guru pada peringkat permulaan kebanyakannya merujuk senarai peribahasa yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5 dengan bilangan yang agak terhad.

     Penguasaan peribahasa ini merupakan lanjutan daripada penguasaan peribahasa pada peringkat sekolah rendah. Secara kebetulan pula, pilihan peribahasa yang diuji pada peringkat awal peperiksaan SPM turut merujuk senarai peribahasa yang terdapat dalam buku teks yang digunakan. Pemilihan peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia. Peribahasa hendaklah diajarkan dalam konteks. Namun begitu, belakangan ini selain merujuk senarai peribahasa yang terdapat dalam buku teks, panel pembuat soalan turut merujuk senarai peribahasa yang terdapat dalam manamana buku peribahasa yang sedia ada atau peribahasa dalam talian menerusi laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau http://prpm.dbp.gov.my.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *