Soal Jawab Bahasa Disember

      No Comments on Soal Jawab Bahasa Disember

Oleh Abdul Ghalib Yunus

Ayat yang gramatis

Soalan:
Adakah ayat yang di bawah ini gramatis?
(1) Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu
memerlukan kesabaran, perjuangan, toleransi
dan persefahaman.
Daripada:
Halim Husin, Rantau.
Jawapan:
Ayat yang dikemukakan di atas sering digunakan oleh pengguna bahasa Melayu terutamanya murid dalam penulisan karangan. Ayat tersebut tidak menepati ayat yang gramatis dalam bahasa Melayu. Ayat yang gramatis ialah ayat yang lengkap dari segi subjek dan predikat serta berpola FN + FN, FN + FK, FN + FA, dan FN + FS. Lazimnya, subjek bagi sesuatu ayat ialah frasa Nama atau frasa yang berfungsi sebagai frasa nama. Oleh itu, ayat tersebut salah kerana tiada subjek. Subjek ayat tersebut ialah frasa kerja. Oleh hal yang demikian, ayat yang sepatutnya ialah:
1 (a) Pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu memerlukan kesabaran, perjuangan, toleransi dan persefahaman.
Dalam ayat 1(a) frasa kerja ‘membina bangsa Malaysia’ telah ditukarkan menjadi frasa nama, iaitu ‘pembinaan bangsa Malaysia’. Pembetulan kesilapan ini menyebabkan ayat tersebut gramatis.

1 (b) Usaha untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu padu memerlukan kesabaran, perjuangan, toleransi dan persefahaman. Dalam ayat 1(b), klausa “untuk membina bangsa Malaysia “ dan “yang bersatu padu” ialah pelengkap kepada subjek, iaitu usaha. Jika ayat tersebut dicerakinkan, ayat tunggal yang terbentuk ialah:
1. Kita membina bangsa Malaysia.
2. Bangsa Malaysia itu bersatu padu.
3. Usaha itu memerlukan kesabaran.
4. Usaha itu memerlukan perjuangan.
5. Usaha itu memerlukan toleransi.
6. Usaha itu memerlukan persefahaman.

Penggabungan ayat

Soalan:
Tuan, mohon penjelasan tentang ayat berikut; Gabungkan ayat-ayat tunggal supaya menjadi satu ayat majmuk. Hujan turun. Mereka berteduh di bawah pokok. Pokok itu rendang.

Jawapan yang saya berikan kepada pelajar;
Apabila hujan turun, mereka berteduh di bawah pokok yang rendang.
Persoalannya;
Bolehkah ayat majmuk itu menjadi;
1. Mereka berteduh di bawah pokok yang rendang kerana hujan turun.
Adakah jawapan lain yang sesuai? Saya mohon penjelasan daripada tuan.
Terima kasih.
Daripada:
Pn. Razimah bte. Osman,
Alor Gajah
Jawapan:
Jawapan yang diberikan tepat. Ayat yang dikemukakan
dibina berdasarkan konteks atau situasi. Dalam konteks
ayat, kata hubung ‘apabila’ digunakan untuk maksud
‘ketika’ atau ‘semasa’.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *