Modul Pembelajaran Kendiri Membugar Pengetahuan Sedia Ada

Oleh Md Ishak A. Rahman

     Pengetahuan sedia ada amat penting dibugarkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pengetahuan sedia ada merupakan pengetahuan dan pengalaman yang pernah diterima dalam pembelajaran formal atau tidak formal. Pemugaran pengetahuan sedia ada menjadi asas kepada guru bagi menyediakan modul pembelajaran kendiri (MPK). Kebiasaannya guru memberikan tugasan tajuk karangan yang tidak dijangka oleh pelajar. Tujuannya supaya pelajar membaca dan membuat rujukan. Namun begitu, hal ini menimbulkan kesukaran bagi sesetengah pelajar yang tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam tajuk tersebut.

     Membaca merupakan aktiviti yang mudah dan murah untuk mendapatkan pengetahuan. Justeru, membaca petikan teks lebih banyak digunakan dalam PdP untuk memberikan pengetahuan atau maklumat kepada pelajar. Pada kebiasaannya, selepas membaca petikan teks, mereka diberikan tugasan untuk membuat rumusan dan pemahaman. Jarang sekali selepas aktiviti ini, pelajar diberikan aktiviti penulisan karangan berdasarkan pengetahuan yang diperoleh daripada maklumat petikan teks tersebut.

     Kita boleh menggunakan petikan teks sebagai bahan MPK dalam tugasan penulisan karangan. MPK ini boleh diberikan kepada pelajar sebagai tugasan cuti sekolah sekiranya pelajar sudah mempunyai pengetahuan sedia ada dalam kemahiran berkaitan. Berikan arahan dalam MPK kepada pelajar agar membaca petikan dengan teliti. Minta pelajar menggariskan isi penting dalam petikan. Pelajar juga diminta untuk membuat tanda kepungan (…) pada lima kesalahan penggunaan kata kerja transitif dalam petikan.

Yang berikut contoh petikan teks bagi MPK

      Dalam usaha mengejar pembangunan dan meningkatkan taraf hidup penduduk, kegiatan ekonomi dan projek pembangunan sesebuah negara tidak dapat dielakkan. Malangnya, manusia sering mengabaikan tentang implikasinya terhadap alam sekitar akibat daripada pelaksanaan aktiviti ekonomi dan aktiviti pembangunan tersebut sehingga menjejaskan kelestarian alam sekitar. Proses pembangunan dan modenisasi yang dilakukan secara drastik sering mengundang pencemaran alam yang teruk meliputi pencemaran udara, air dan alam semula jadi.

     Keadaan alam sekitar yang terjejas sudah tentu memberi implikasi pencemaran yang turut menjejaskan manusia dan kehidupan lain. Paling ketara pencemaran alam menjejaskan kesihatan manusia. Bahan yang mencemarkan udara boleh mengganggu pernafasan manusia di samping menyebabkan radang paru-paru. Selain itu, pencemaran udara yang disebabkan oleh asap, habuk, kabus, dan wap menyumbang kepada peningkatan statistik kemalangan, khususnya kemalangan jalan raya kerana menjejaskan pemandangan pemandu.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *