Kepentingan Bahasa di Institusi Kemahiran

      No Comments on Kepentingan Bahasa di Institusi Kemahiran

Oleh Mohd Ridwan Rashid

     Bahasa Melayu diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu pada abad ke-15. Pada ketika itu, bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik. Lantaran bahasa Melayu digunakan sejak sekian lama sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan persuratan, maka bahasa Melayu dipersetujui dan disepakati bersama-sama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar bahasa tersebut dijadikan bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957.

     Permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur, iaitu Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 yang menyebut secara jelas bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa bagi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.

     Maka sejak itu, bahasa Melayu semakin meluas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah dan bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah. Lebih indah, bahasa Melayu diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan digunakan bersama-sama untuk mencapai matlamat perpaduan.

     Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di negara ini. Pada tahun 1981, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar pada semua peringkat persekolahan, iaitu pada peringkat sekolah rendah hingga peringkat sekolah menengah. Seterusnya bahasa Melayu turut dijadikan mata pelajaran di semua sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Pada peringkat sekolah menengah, bahasa Melayu dijadikan subjek teras. Hal ini bermaksud semua pelajar wajib lulus bagi membolehkan mereka layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

     Kepentingan lulus dalam subjek Bahasa Melayu diketahui umum sejak sekian lama. Hal ini, bukan hanya dijadikan syarat utama untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat seterusnya, tetapi Bahasa Melayu sebagai subjek wajib lulus juga menjadi kriteria utama dalam bidang pekerjaan, khususnya dalam sektor perkhidmatan awam.

     Namun begitu, yang menjadi persoalan pada hari ini ialah kepentingan bahasa Melayu seolah-olah ternoktah sebaik-baik sahaja pelajar menamatkan SPM atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bahasa Melayu hanya menjadi “tiket” untuk masuk ke gerbang universiti, kolej atau dunia pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana pada peringkat pasca-SPM dan STPM, apabila pelajar memilih untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat seterusnya, bahasa Melayu “boleh” diketepikan kerana tiada lagi istilah “wajib” menuturkan, menggunakan atau lulus bahasa Melayu.

     Pada hari ini, sebanyak 20 universiti awam (UA) yang ada tidak lagi dapat menampung ribuan orang lulusan SPM dan STPM sedangkan jumlah yang layak berganda daripada kekosongan yang ditawarkan sama ada untuk program asasi, diploma dan ijazah. Disebabkan jumlah lulusan yang layak berbanding dengan tempat yang ditawarkan oleh UA tidak seimbang, pada akhirnya, banyak lepasan SPM dan STPM gagal mendapat tempat meskipun selepas rayuan dibuat, masih banyak yang gagal. Mereka yang lahir daripada keluarga yang “berada” mungkin boleh memilih untuk meneruskan pengajian pada peringkat universiti swasta (US). Namun begitu, bagi yang lain, mereka perlu merancang semula apa-apa yang terbaik demi masa hadapan mereka.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *