Menyuburkan Landskap Bahasa Melayu

      No Comments on Menyuburkan Landskap Bahasa Melayu

Oleh Saila Ismail

     Frasa “Bahasa Melayu Merentas Kurikulum” yang diringkaskan kepada BMMK sudah sekian lama kedengaran di negara ini, malahan pernah dibawa ke sidang perbahasan di parlimen pada peringkat awal perkara itu diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada masyarakat. Selanjutnya, atas kesedaran kepentingan jati diri rakyat negara ini, BMMK dengan pantas diterima oleh masyarakat, lalu menjadi amalan yang wajib di sekolah aliran perdana sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.

    Secara umumnya BMMK membawa pengertian, iaitu segala ilmu dalam semua mata pelajaran kecuali mata pelajaran bahasa selain Bahasa Melayu, disampaikan secara rasmi kepada murid dengan menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Ketetapan peraturan ini kelihatan ada keselarasannya dengan roh dan inti Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaan perkara ini turut didapati mendukung Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang juga dikenali sebagai Akta 32.

     Melihat akan perkara ini daripada kaca mata sejarah, kita akan mendapati bahawa BMMK digubal setelah disesuaikan daripada idea “Language Across the Curriculum” yang lahir daripada kajian Jawatankuasa Bullock (1975). Pemerhatian lanjut mendapati bahawa Perakuan 138 dan Perakuan 139 dalam laporan jawatankuasa yang dinyatakan tersebut sangat menekankan penggunaan bahasa dalam apa-apa sahaja kegiatan kurikulum, khususnya sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

    Secara tersiratnya, dalam konteks BMMK, kedua-dua perakuan berkenaan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang tentu sahaja mempunyai kemampuan membestarikan murid termasuklah dari segi penggalian pengetahuan dalam bidang yang dianggap mencabar dan bersifat sejagat – sains, matematik, dan teknologi maklumat. Hal ini dipersetujui oleh banyak ilmuwan sama ada pemikir tempatan mahupun pemikir luar negara, umpamanya Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said, SN Muhammad Haji Salleh, ahli akademik yang juga penyair terkenal, Datuk Rahman Shaari, dan pejuang bahasa Melayu, antaranya Ketua Kluster Sejarah, Warisan, dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong.

     Melalui sorotan tulisan atau temu bual dengan beberapa orang sasterawan dan aktivis bahasa di negara ini dalam beberapa waktu yang mutakhir, tiada lagi penjelasan untuk menyatakan bahawa pemerolehan ilmu bukanlah melalui bahasa, sebaliknya berlaku dengan bahasa. Mungkin timbul sekilas tanda tanya berkaitan dengan kata-kata tersebut, namun yang perlu difahami dengan jelas dalam konteks perbincangan ini ialah pemerolehan sesuatu maklumat dan ilmu pengetahuan tidaklah semestinya berlaku melalui sesuatu bahasa sahaja, umpamanya bahasa Inggeris seperti yang disangka oleh kebanyakan orang, malahan ilmu mampu diperoleh secara maksimum dengan penggunaan pelbagai bahasa, terutama sekali bahasa yang akrab dengan seseorang murid.

     Dalam Perakuan 138, terdapat penegasan bahawa semua guru mata pelajaran perlu sedar akan keupayaan seseorang murid memperoleh maklumat atau pemahaman tentang sesuatu ilmu melalui proses linguistik. Dalam hubungan ini, melalui rencana yang berjudul “Bahasa Melayu Merentas Kurikulum” yang disiarkan oleh laman sesawang rostamhamzah68.blogspot.my pada 12 November 2012, Rostam Hamzah menyatakan bahawa bahasa yang digunakan oleh seseorang guru terutamanya ketika mengendalikan kegiatan kurikulum amat besar pengaruhnya kepada murid. Jika kita melihat pandangan Rostam Hamzah itu dengan pandangan berlapis, tentu kita dapat menyaring inti patinya. Sungguhpun tidak terungkap secara harfiah, beliau cenderung mengatakan bahawa bahasa yang digunakan oleh seseorang guru itu akan membentuk suatu persekitaran pengalaman dan menjadi teladan yang sangat berkesan kepada seseorang murid.

     Melalui Perakuan 139 yang terkandung dalam Laporan Bullock (1975) kelihatan suatu pengesyoran yang tegas kepada pihak sekolah supaya melaksanakan BMMK. Tujuannya tidak lain adalah untuk memastikan berlakunya keberkesanan penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid dengan menggunakan bahasa yang bersistematik. Perakuan berkenaan turut menjelaskan bahawa tanggungjawab terhadap dasar tersebut perlu disepadukan dalam struktur organisasi sesebuah sekolah. Dalam tempoh kira-kira sedekad kemudiannya, hal ini disokong oleh sekurang-kurangnya oleh tiga penyelidikan lain, iaitu kajian Michael Marland (1977), kajian Halliday (1985), dan kajian Makhan L. Tickoo (1986).

Rencana ini dipetik Pelita Bahasa dari keluaran Disember

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *