Salah Generasi Muda Semata-mata?

      No Comments on Salah Generasi Muda Semata-mata?

Mohd Sazni  (Kuala Lumpur)

     Banyak pihak yang beranggapan bahawa punca kemerosotan bahasa Melayu kini disebabkan sikap generasi muda sekarang yang tidak lagi peduli terhadap bahasa ibundanya. Jika diteliti dengan lebih mendalam, telahan tersebut dilihat kurang berasas. Keadaan ini samalah halnya dengan pandangan yang menyatakan bahawa generasi muda merupakan punca kepada segala masalah sosial yang berlaku sekarang.

     Jika semua kesalahan ini diletakkan di atas pundak mereka, maka sudah pasti generasi muda akan menidakannya dan beranggapan bahawa pandangan dan pendapat mereka semuanya benar belaka. Generasi muda sering kali diselaputi sifat memberontak terhadap pelbagai perkara. Hal ini bukanlah perkara yang negatif kerana sifat ini akhirnya akan membajai idea yang segar dan bernas.

     Memang tidak dapat dinafikan bahawa jika diteliti bahasa pertuturan dan percakapan mereka, sukar untuk melihat idea yang terjalin bersama-samanya. Namun begitu, hal ini tidak semestinya menjadi bukti bahawa generasi muda kini ketandusan idea dan gaya fikir hanya kerana mereka tidak pandai berbahasa dengan betul. Mungkin kerana emosi dan luahan perasaan yang meluap-luap menyebabkan mereka dilihat seolah-olah tidak berbahasa dengan baik dan betul.

    Masyarakat harus mengambil kira juga bentuk persekitaran dan keadaan sekiling yang melingkungi kehidupan seharian mereka yang akhirnya mempengarui gaya erbahasa. Lebih tepat jika dikatakan bahawa bukanlah generasi meuda ini tidak boleh berbahasa denga sebenar-benarnya, tetapi keadaan sekelilinglah yang menyebabkan wujudnya iklim dan gaya berbahasa mereka seperti yang telah kita sedia maklum. Kebanyakan masa terluang mereka diisi dengan melihat facebook, twitter, Instagram, dan sebagainya yang akhirnya mempengaruhi gaya pertuturan dan perbualan seharian.

     Bahasa bukan sahaja sebagai salah satu bentuk manusia mengungkapkan citra rasanya, tetapi juga menunjukkan cara manusia berfikir. Kata-kata tersebut lahir dari mulut Ali Ahmed Said, seorang pemikir Arab kontemporari. Pandangan tersebut juga menimbulkan perkara lain, iaitu manakah yang lebih penting, bahasa atau pemikiran? Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-duanya memainkan peranan penting dalam proses ketamadunan. Namun begitu, keadaan sekarang yang lebih mementingkan kepantasan dan kelajuan berkemungkinan menyebabkan generasi muda tidak lagi mengutamakan bahasa untuk menyalurkan idea. Asal sahaja idea itu dapat difahami walaupun dengan bahasa yang kelihatanya tidak betul bagi sesetengah pihak, maka itu sudah cukup bagi mereka. Jadi, adakah kemerosotan bahasa Melayu sekrang disebakan generasi muda semata-mata?

Komentar ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Disember

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *